17 pemain JDT dan kakitangan dijangkiti virus influenza

Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menerusi kenyataan di laman sosial rasmi, JOHOR Southern Tigers telah memaklumkan seramai 17 orang pemainnya telah dijangkiti virus Influenza. Ianya melibatkan 10 orang pemain JDT, 4 orang pemain JDTII dan 3 dari JDTIII. Beberapa jurulatih serta kakitangan turut dijangkiti dan telah diuji positif virus tersebut.

Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards memberitahu, pihak kelab telah mengambil langkah untuk mengawal penularan virus dan menghantar semua pemain, jurulatih dan kakitangan untuk pemeriksaan kesihatan. JDT juga telah melakukan proses sanitasi kawasan di Pusat Latihan Padang Seri Gelam untuk memastikan persekitaran yang selamat untuk semua.

JDT akan turun beraksi menentang Petaling Jaya City FC malam esok (10 Julai 2019) bagi aksi ke-20, saingan Liga Super Malaysia di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos. Walaubagaimanapun sehingga ini, belum disahihkan lagi perlawanan tersebut akan ditangguhkan atau tidak.

Skuad Harimau Selatan sebelum ini telah mengesahkan kejuaraan liga lebih awal terus mengekalkan rekod tanpa kalah dengan perlawanan terakhir menentang Perak di Stadium Ipoh dengan jaringan besar 3-0.

Baki perlawanan, selain dijadual bertemu PJ City, JDT akan bertandang ke ibu negara menentang Kuala Lumpur pada 14 July sebelum kembali ke Johor Bahru bagi perlawanan terakhir menentang Terengganu FC pada 19 Julai 2019.