500 keping tiket sahaja yang boleh

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan sepertimana Manual MFL, Kedah hanya boleh menerima 500 keping tiket sahaja berdasarkan kapasiti penonton di Stadium Sultan Ibrahim bagi perlawanan Piala Sumbangsih membabitkan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Kedah, Jumaat ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ghani Ab Hassan berkata surat permintaan KFA sudah diterima mengenai permintaan persatuan itu untuk mendapatkan 1,000 keping tiket yang akan dijual kepada penyokong Kedah yang mahu menyaksikan perlawanan Piala Sumbangsih berkenaan.

“Untuk makluman, MFL ada manual yang ditetapkan berhubung pembahagian tiket untuk penyokong pasukan tuan rumah dan pelawat. Ada tiga kategori yang ditetapkan.

“Stadium yang bawah kapasiti penonton 20,000, tuan rumah boleh memberi tiket kepada pasukan pelawat hanya 300 tiket sahaja.

“Kedua, stadium yang berkapasiti 20,000 hingga 40,000, tuan rumah dibenarkan sediakan tiket kepada pasukan pelawat maksima 500 tiket dan kapasiti stadium baharu JDT adalah 35,000, jadi KFA mungkin akan dapat 500 tiket sahaja.

“Atas kapasiti tempat duduk penyokong 40,000 hingga 80,000, maka tuan rumah boleh beri tiket kepada pasukan pelawat sejumlah 1,000 tiket dan jika KFA inginkan 1,000 tiket ia bergantung kepada budi bicara kelab JDT dan ketetapan manual di buat oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL,” katanya ketika ditemui di majlis perasmian Stadium Sultan Ibrahim.

Stadium Sultan Ibrahim mempunyai kapasiti 35,000 tempat duduk ketika ini.

Sebelum ini, Setiausaha Kehormat KFA, Asmirul Anuar Aris dalam media sosialnya baru-baru ini berkata, pihaknya dihujani pelbagai panggilan serta surat permohonan oleh penyokong Kedah bagi mendapatkan kuota tiket menyaksikan perlawanan itu.

Gambar fail, Setiausaha Kehormat KFA, Asmirul Anuar Aris. – Foto BERNAMA

Kedah memohon 1,000 keping tiket perlawanan untuk para penyokong Lang Merah dan permohonan tersebut telah dimajukan kepada JDT namun masih belum menerima maklumbalas.

Namun dengan penjelasan  MFL itu, kemungkinan hasrat KFA mendapat  kuota 1,000 keping tiket tidak kesampaian dan mungkin hanya 500 keping tiket bakal disediakan.

Jika ia berlaku maka KFA tidak wajar melenting tatkala pengagihan tiket kepada pasukan pelawat sudah ditetapkan dan tidak perlu menyalahkan mana-mana pihak kerana ia ditetapkan oleh manual MFL.