ACL: Al-Hilal disingkir sebab COVID-19

Doha: Penyandang juara Liga Juara-Juara Asia (Barat), Al Hilal disingkirkan dari saingan berkenaan selepas gagal membariskan jumlah minimum pemain ketika berdepan Shabab Al Ahli dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Al Hilal ‘dikategorikan sudah menarik diri dari kejohanan’ selepas gagal membariskan 13 pemain yang diperlukan bagi aksi Kumpulan B Liga Juara-Juara di Doha.

Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) berkata dalam satu kenyataan, berdasarkan peraturan khas kejohanan AFC ketika Covid-19, gergasi Arab Saudi itu yang sudah melayakkan ke peringkat 16 akhir, tidak boleh mengambil bahagian dalam baki aksi kejohanan itu.

“Semua perlawanan membabitkan Al Hilal, yang hanya menamakan 11 pemain, dianggap batal dan tidak sah,” kata AFC.

Ia menyaksikan, Pakhtakor dari Uzbekistan dan Shabab Al Ahli mara ke pusingan seterusnya mewakili Kumpulan B.

Peraturan pertandingan membenarkan 35 pemain didaftarkan oleh setiap kelab, tetapi Al Hilal mendaftarkan 30 daripadanya dan hanya 27 yang berangkat ke Doha pada awal pertandingan.

Al Hilal dan Persekutuan Bolasepak Arab Saudi (SAFF) meminta agar aksi menentang Shabab Al Ahli ditangguhkan, dengan menggunakan alasan AFC boleh menundakan perlawanan jika mempunyai sebab luar biasa.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Al-Hilal

Bagaimanapun, permintaan mereka ditolak kerana penundaan perlawanan dikatakan bakal memberi impak negatif buat jadual semasa Liga Juara-Juara Asia (Barat)

Al Hilal sebelum ini berdepan wakil Iran, Shahr Khodro Ahad lalu dengan 15 pemain mereka diuji positif Covid-19 selepas, badan bola sepak Asia enggan untuk menangguhkan perlawanan itu.

Kelab Arab Saudi itu meminta agar AFC menangguhkan perlawanan di Stadium Al Janoub selepas 10 pemain mereka dijangkiti Covid-19, manakala lima lagi sudah disahkan positif sebelum ini.

Berdasarkan peraturan AFC, Al Hilal dibenarkan beraksi jika mereka mempunyai 14 pemain termasuk dua penjaga gol.

Al-Hilal menjuarai AFC Champions League musim 2019.