ACL: Andres Iniesta masalah utama JDT

Ketua pasukan Vissel Kobe, Andres Iniesta nyata menjadi masalah besar untuk JDT selepas gagal menyekat Juara Empreror Cup Jepun 2019 dan Juara Super Cup Jepun 2020 di saingan AFC Champions League (ACL) 2020.

Vissel Kobe nyata tidak berdepan masalah untuk menewaskan Johor Darul Ta’zim semalam dengan jaringan 5-1 di Misaki Park Stadium.

Meskipun sudah menginjak usia 35 tahun, namun Iniesta tidak berdepan sebarang masalah untuk menampilkan persembahan cemerlang dimana pergerakan beliau sukar dikawal oleh pemain JDT selain menyumbang tiga assist dimana ketiganya disempurnakan oleh Keijiro Ogawa.

Bekas pemain Barcelona itu berpendapat Kobe menampilkan aksi yang baik dan satu perkara yang positif untuk memulakan saingan dengan kemenangan.

Pemain-pemain JDT seakan terpukau, hilang fokus dengan kelibat pemain Spain itu sehingga menyebabkan banyak ruang yang diberikan kepada lawan sehingga mudah menjaringkan gol.

“Saya rasa kami memulakan saingan satu pasukan yang kukuh. Secara keseluruhan, kami beraksi dengan baik dan saya berjaya mencipta beberapa peluang untuk rakan sepasukan menjaringkan gol.

“Vissel Kobe beraksi buat pertama kali dalam saingan ACL, jadi masih terlalu awal untuk berfikir tentang memenangi pertandingan ini. Penting untuk pasukan meningkatkan tahap permainan pada setiap perlawanan. Tugas getir menanti pada perlawanan seterusnya kerana kita akan beraksi di tempat lawan.

“Jika kita berjaya meraih kemenangan di Korea, maka ada peluang untuk mara ke pusingan seterusnya. Tetapi sekarang apa yang penting ialah kami terus bermain dengan baik, bekerja keras dan menampilkan aksi cemerlang pada setiap perlawanan,” kata Iniesta.

Dua lagi jaringan Vissel Kobe ke gawang JDT dijaringkan oleh Kyogo Furuhashi dan Douglas manakala Safawi Rasid menjaringkan gol tunggal bagi wakil tunggal Malaysia itu.