ACL: FC Seoul tiada masalah untuk singkirkan Kedah

FC Seoul tidak berdepan masalah untuk menyingkirkan juara Piala FA Malaysia, Kedah pada saingan play-0ffs AFC Champions League 2020 malam tadi yang berkesudahan tuan rumah menang 4-1.

Pemenang tempat ketiga K-League 2019 ini terpaksa mengharungi saingan play-offs sebelum layak mengiringi dua lagi pasukan teratas iaitu Jeonbuk Hyundai Motors yang merupakan juara K-League dan Naib Juara Ulsan Hyundai yang masing-masing terlebih dahulu layak ke peringkat kumpulan.

Kedah pula layak sebagai juara Piala FA menyaksikan penampilan pertama di pentas AFC Champions League. Meskipun berjaya mengharungi pusingan ke-2 kelayakkan dengan menang bergaya 5-1 menewaskan Tai Po dari Hong Kong namun ianya belum cukup untuk menandingi pasukan elit Asia.

Kedah turun dengan kesebelasan terbaik dengan 2 pemain import berbisany di bahagian serangan, Tchetche Kipre dan Kpah Sherman manakala Baddrol Bakhtiar mengetuai barisan tengah sambil dibantu Hadin dan David Rowley.

Serangan bertali arus FC Seoul ke kubu Kedah dengan beberapa percubaan namun kecekapan dan ketangkasan penjaga gol, Shahril Saari menggagalkan jaringan.

Kedah hampir menjaringkan gol apabila peluang diperolehi menerusi Kipre yang berseorangan bertindak membuat sepakan lambung ke gawang tetapi berjaya di tepis keluar penjaga gol, Yu Sang-Hun. Ini merupakan percubaan pertama pelawat.

Pada minit ke 36, Renan Alves melakukan kesilapan selepas cuba menepis bola menggunakan tangan di dalam kotak penalti menyebabkan Pengadil perlawanan melayangkan kad kuning, dan ia merupakan kad kuning kedua.

Dengan keputusan itu, Renan Alves diperintah keluar padang sebelum jaringan penalti disudahkan dengan sempurna oleh bekas pemain kebangsaan Korea Selatan, Park Chu-Yong untuk mendahului 1-0 dan keputusan tamat separuh masa pertama.

babak kedua menyaksikan Kedah main secara bertahan dengan 10 pemain cuba menyerap penuh serangan FC Seoul dari setiap posisi. Namun akhirnya gagal dikawal menyebabkan tuan rumah menambah gol kedua menerusi tandukan Park Don-Jing pada minit 49.

Selang 4 minit kemudian, Kedah menarik nafas lega apabila sepakan percuma ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar yang menghantar ke kotak penalti telah tertanduk ke gawang sendiri oleh Osmar.

Bagaimanapun, Osmar menebus kesilapan itu apabila kembali menjarakan kedudukan 3-1 dengan jaringan yang deras menewaskan Shahril Saari pada minit 63. Ikromjon Alibaev terus menambah derita Kedah untuk gol keempat FC Seoul pada minit akhir perlawanan.

Keputusan penuh perlawanan FC Seoul 4 Kedah 1. Keputusan ini mengesahkan FC Seoul melengkapkan kumpulan E yang dibarisi Beijing FC (China), Chiangrai United (Thailand) dan Melbourne Victory dari Australia yang berjaya menewaskan Kashima Antlers dalam satu lagi perlawanan Play-offs.