ACL: JDT akur kehebatan Vissel Kobe

Perlawanan pertama saingan AFC Champions League bagi kumpulan G menyaksikan JDT terpaksa akur dengan kehebatan Vissel Kobe apabila tewas 1-5 di Stadium Misaki Park, Kobe.

JDT bermula baik dalam 10 minit pertama dengan perlawanan seimbang oleh kedua-dua pasukan. JDT tampak berpeluang untuk peroleh gol pertama namun sedikit ketumpulan dari Nazmi Faiz yang gagal menyudahkan jaringan.

Vissel Kobe yang di ketuai oleh Andrés Iniesta berjaya mengatur barisan strategik terbaik sehingga berjaya membantu jaringan awal. Ianya bermula melalui gerakan yang dilakukannya dengan menghantar bola kemas ke K. Ogawa untuk meletakkan kedudukan 1-0 pada minit 12.

JDT cuba mengikat kedudukan 1-1 menerusi sepakan penalti Safawi Rasid pada minit 27 selepas bola terkena tangan Thomas Vermaelen di dalam kotak penalti.

Selang seminit K. Fuhuhashi kembali meletakkan Vissel Kobe di depan dengan rembatan padu menewaskan Farizal Marlias. Keputusan 2-1 kekal untuk separuh masa.

Masuk separuh masa kedua, JDT gagal memasuki kawasan tuan rumah dengan kawalan ketat pertahanan yang diketuai Thomas Vermaelen sebaliknya membuatkan JDT lebih tertekan.

Sedikit kealpaan pertahanan dan dengan kelajuan pemain lawan, K. Ogawa terus melebarkan jaringan untuk menewaskan Farizal pada minit 58 untuk kedudukan 3-1. Pertahanan JDT terus dihukum dengan jaringan M. Douglas pada minit 64 untuk meletakkan Vissel Kobe selesa dengan 4-1.

Sekali lagi kelibat Andrés Iniesta yang masuk ke dalam kotak penalti berjaya membuat hantaran lintang ke tengah tanpa di cabar sesiapa mudah K. Ogawa membuat hatrik selepas menanduk masuk untuk gol ke-5.

Image

FOTO: JOHOR Southern Tigers