ACL: JDT buatkan Suwon tersungkur

Image

Juara Piala Sumbangsih 2020, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) membuat kejutan apabila mengejutkan Suwon Bluewings dalam aksi AFC Champions League dengan kemenangan 2-1 di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.

Dua jaringan oleh Gonzalo Cabrera dan Mauricio sudah memadai untuk Johor Darul Ta’zim (JDT) menumbangkan wakil Republik Korea bagi mengutip 3 mata berharga. Kemenangan ini juga sebagai menebus kehampaan tewas pada perlawanan pertama.

Jaringan oleh Gonzalo Cabrera hadir menerusi sepakan penalti pada minit ke-13 selepas Diogo Luis Santo diterjah daripada belakang oleh pertahanan lawan, Henry. Diogo sebelum itu menerima hantaran yang sangat kemas dari Nazmi Faiz.

Image

Gandingan yang ditunjukkan barisan tengah JDT mendapat pujian ramai. Kemasukkan Natxo dan gandingan bersama Nazmi – Afiq, cukup memberi tekanan kepada barisan pertahanan pelawat.

Bagaimanapun, Suwon Samsung Bluewings yang merupakan juara bertahan Piala FA Korea berjaya merapatkan jurang menerusi Antonis pada minit ke-51 hasil kesilapan Farizal Marlias yang ‘off position’.

Anak-anak buah Benjamin Mora nyata tidak mudah berputus asa dan mereka sememangnya mahu mengutip tiga mata daripada perlawanan ini lebih-lebih lagi beraksi di halaman sendiri, Stadium Sultan Ibrahim. 

Image

Dan gol kemenangan yang dicari-cari itu muncul pada minit ke-73 apabila satu hantaran cantik daripada Nazmi Faiz berjaya menemui kepala Mauricio dengan tepat sebelum menanduk masuk ke gawang mengalahkan No Dong-Geon.

Suwon Samsung Bluewings mahu memburu gol penyamaan namun ianya tidak mudah sama sekali memandangkan tuan rumah tampak semakin yakin mendahului sehinggalah tamat masa permainan sekaligus membolehkan JDT mencatatkan kemenangan sulung dalam kempen ACL 2020. 

FOTO: JOHOR Southern Tigers