ACL: JDT kecewa namun akur keputusan kerajaan

Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) meluahkan rasa kecewa kerana tidak dapat menyambung saingan AFC Champions League 2020 yang akan berlangsung di Doha, Qatar minggu depan.

Ini selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) membuat keputusan untuk tidak membenarkan JDT ke luar negara berdasarkan polisi kesihatan dan keselamatan ketika ini yang melarang ke luar atau masuk negara.

“Walaupun kami sangat kecewa tidak dapat mengambil bahagian dalam kejohanan tertinggi kelab peringkat Asia dan juga Piala Malaysia, kami menghormati keputusan kerajaan Malaysia,” kata Pengarah Teknikal Bolasepak JDT, Alistair Edwards.

“JDT memahami tindakan atas faktor keselamatan ini terpaksa diambil disebabkan oleh peningkatan kes pandemik Covid-19. Keselamatan setiap orang termasuk skuad JDT yang bakal ke Doha adalah satu keutamaan. Kami berdoa dan berharap agar dunia dapat mengatasi pandemik ini sebelum bermulanya musim 2021.”

AFC telah memutuskan kejohanan AFC Champions League 2020 yang ditangguhkan sebelum bersambung semula tetapi dianjurkan secara berpusat. Pada awalnya, Malaysia menjadi venue utama bagi kumpulan di zon asia timur, bagaimanapun AFC membuat keputusan berpindah ke Doha berikutan Kerajaan Qatar menyediakan segala kemudahan dan keselamatan kepada pasukan.

Ini bermakna JDT tidak dapat menghabiskan saingan ACL musim ini dan semua mata dan keputusan yang diperoleh sebelum ini dianggap batal serta-merta. Bagaimanapun, JDT tidak akan dikenakan sebarang hukuman mahupun penggantungan kerana ia melibatkan keputusan kerajaan.

JDT menjadi pasukan ketiga yang tidak dapat menyertai ACL selepas kelab UAE, Al-Wahda dan kelab Arab Saudi, Al-Hilal atas sebab pandemik COVID-19.