ACL: Pohang Steelers dan Ratchaburi FC lengkapkan Group G bersama JDT

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) hari ini mengesahkan kelab dari Korea Selatan, Pohang Steelers dan kelab dari Thailand, Ratchaburi FC menyertai dalam kumpulan G saingan AFC Champions League 2021 (ACL) bersama wakil negara, Johor Darul Ta’zim (JDT) serta kelab Jepun, Nagoya Grampus.

Dua kelab tersebut dapat ‘bye’ ke peringkat kumpulan bagi menggantikan tempat kelab China, Jiangsu Suning yang menarik diri ekoran masalah kewangan.

“Menurut Peraturan Pertandingan AFC Champions League 2021, Jawatankuasa Pertandingan AFC telah memutuskan untuk membatalkan perlawanan Playoff antara Pohang Steelers dari Korea Selatan dan Ratchaburi FC dari Thailand, yang dijadualkan berlangsung pada 14 April 2021.

“Kedua-dua kelab tersebut dianugerahkan slot automatik ke kumpulan G bersama Nagoya Grampus dan JDT,” kata kenyataan rasmi daripada AFC.

Saingan AFC zon timur akan berlangsung secara format karnival di Thailand pada 21 Jun hingga 7 Julai 2021.

Ia akan menjadi musim kedua dijalankan dalam konsep ‘gelembung sukan’ setelah mereka berjaya menganjurkan saingan ACL di Doha, Qatar yang membabitkan 26 pasukan pada tahun lepas.

Thailand dipilih menjadi tuan rumah kerana memenuhi beberapa kriteria yang ditetapkan oleh AFC iaitu keperluan logistik seperti penggunaan video bantuan pengadil (VAR), jarak perjalanan minimum kelab, kemudahan penerbangan dan fasiliti perubatan untuk ujian pengesanan COVID-19 kepada semua pemain dan pegawai yang kosnya ditanggung oleh AFC.

Saingan ACL musim ini yang menampilkan penyertaan 40 pasukan dari Zon Barat dan Zon Timur buat kali pertama dalam sejarah. Zon Barat dijadualkan berlangsung pada 14 hingga 30 April 2021.

Selain Thailand, Arab Saudi, UAE dan India turut menjadi rumah untuk semua perlawanan peringkat kumpulan dari zon barat. – VFC