ACL2019: JDT beri saingan hebat kepada Kashima Antlers

Juara bertahan, Kashima Antlers mungkin tak sangka persembahan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) buatkan mereka hanya mampu menang tipis 2-1 pada aksi pembukaan Kumpulan E Liga Juara Juara AFC (ACL) di Stadium Kashima, semalam.

Berdasarkan cakap-cakap orang, skuad bimbingan Go Oiwa menjadi pilihan untuk menang besar ditambah lagi beraksi di stadium keramat mereka dan selaku status sebagai juara bertahan namun selepas mendahului dua gol dan mensia-siakan peluang terhidang disamping kekebalan pertahanan JDT yang dipimpin Maurico dan Adam Nor Azlin.

JDT nyaris dihukum seawal minit ke 15 bila Farizal Marlias bertindak menjatuhkan pemain lawan. Kesilapannya berjaya ditebus dengan menepis keluar bola sepakan Serginho.

Kebangkitan yang ditunjukkan JDT pada separuh masa kedua, buatkan Kashima Antlers terpaksa mengerah diri mengawal kubu pertahanan gawang. 10 minit terakhir, mereka terpaksa mengalah dengan serangan balas JDT yang membuahkan hasil menerusi gol Diogo Santo.

Berselang beberapa minit, Akhyar Rashid berpeluang mencipta jaringan untuk menyamakan kedudukan dan nyaris buatkan tuan rumah berputih mata.

Walaupun tewas, pujian wajar diberikan kepada anak buah Benjamin Mora yang dilihat tidak gentar dan gugup pada penampilan pertama mereka di pentas tertinggi ACL. Ianya dapat dibuktikan dengan barisan pertahanan yang berjaya mengawal serangan bertali arus dengan gerakan pantas dan gol tuan rumah adalah berdasarkan kesilapan individu.

Selepas ini, skuad Harimau Selatan akan meneruskan pemburuan tiga mata pertama bertemu Gyeongnam FC dan kali ini, aksi akan berlangsung di laman sendiri pada 12 Mac.

Foto kredit: JOHOR Southern Tigers