AFF Cup: Ini peluang terakhir Harimau Malaya!.

Peluang skuad Harimau Malaya untuk beraksi di pentas final Piala AFF masih terbuka luas meskipun bakal berdepan ranjau sukar apabila bertandang ke stadium keramat Thailand bagi aksi separuh akhir kedua di Stadium Rajamangala, malam ini.

Meskipun rekod pertemuan di Bangkok sejak 2004 tidak pernah memihak kepada Malaysia, ia bukanlah satu misi mustahil buat anak didik Tan Cheng Hoe untuk mencapai kemenangan sekiranya aksi pertama di Bukit Jalil mampu diulangi pada malam ini.

Bagi bekas pemain kebangsaan, Lim Chan Yew, aksi menarik yang diperagakan oleh skuad kebangsaan pada separuh akhir pertama jelas menunjukkan ada peningkatan dengan corak hantaran pendek serta kawalan bola yang menyeluruh sepanjang aksi.

Namun ada sedikit kelemahan yang begitu ketara di bahagian serangan apabila penyerang gagal menyudahkan peluang dan beliau menyeru kepada pemain supaya bangkit dan tampil lebih berbisa.

“Memang sukar untuk mana-mana pasukan terutamanya pasukan dari rantau Asean untuk menundukkan mereka (Thailand) di sana.

“Tapi dalam bola sepak apa saja boleh berlaku. Malah, kalau lihat pada aksi pertama di Bukit Jalil, Malaysia jelas lebih baik daripada mereka cuma kita dikecewakan oleh sentuhan penyerang kita.

“Saya percaya jika pemain penyerang kita boleh menggunakan setiap peluang yang hadir, tak mustahil kita boleh menang di Bangkok nanti.

“Semuanya atas diri pemain kerana jurulatih tidak banyak masa untuk memperbaiki dalam tempoh tiga ke empat hari selepas tamat separuh akhir pertama,” katanya kepada Sukan NSTP, hari ini.

Selepas aksi pertama berakhir 0-0, kedua-dua pasukan perlu memburu gol bagi mengelak perlawanan berlanjutan ke penentuan sepakan penalti.

Situasi Thailand, juara lima kali kejohanan lebih perit apabila tidak boleh seri dengan jaringan kerana bakal memberi kelebihan kepada Harimau Malaya menerusi gol di tempat lawan.

Tambah Chan Yew lagi, apa yang perlu dilakukan pemain negara adalah sentiasa berwaspada dengan pergerakan penyerang skuad Gajah Perang yang gemar melakukan larian daripada belakang untuk memerangkap pertahanan negara. -BH