Afiq & Safawi boleh cabar diri untuk kesebelasan utama, kenapa tidak anda?

DYAM Tunku Mahkota Ismail ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja menyifatkan Afiq Fazail dan Safawi Rasid sebagai bukti kelabnya, Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak ‘memerap’ pemain muda berbakat tempatan.

Malah dengan menyertai skuad Harimau Selatan, kedua-dua pemain tersebut telah berjaya mengembangkan potensi diri sehingga mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah seperti pemain-pemain import dalam saingan Liga Malaysia.

Sebelum itu, Tunku Mahkota yang merupakan pemilik JDT menepis dakwaan sesetengah pihak yang cuba menakutkan pemain-pemain muda tempatan supaya tidak menyertai JDT. Hal ini kerana para pemain muda bakal tidak mempunyai peluang untuk beraksi dalam kesebelasan utama skuad Harimau Selatan tersebut.

https://i2.wp.com/www.foxsports.com.my/tachyon/sites/11/2019/10/Afiq-Fazail-vs-Terengganu-FC-Piala-Malaysia-2019-JST.jpg?w=750&ssl=1
Foto: JOHOR Southern Tigers

Menurut Tunku Mahkota, untuk menjadi pemain profesional, pemain-pemain muda tempatan mestilah mempunyai komitmen yang tinggi untuk meningkatkan potensi. Selain itu, pemain juga perlu menerapkan karakter untuk bersaing dengan pemain-pemain import dan senior sepertimana dilakukan oleh Afiq dan Safawi.

“Sebagai contoh pemain muda, Afiq Fazail. Dahulu ada orang kenal Afiq Fazail? Dia bertarung untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama dengan bersaing bersama Natxo Insa, Hariss Harun dan pemain-pemain tengah yang lain. Disebabkan dia bertarung untuk mendapatkan tempatnya, dia telah menampilkan peningkatan yang banyak dan dapat panggilan kebangsaan.”

“Saya bawa Safawi Rasid pada umur 19 tahun, Safawi Rasid dapat bermain setiap perlawanan. Adam Nor Azlin pula sedang mengambil alih tempat pertahanan senior. Sama juga seperti Nazmi Faiz, berapa banyak perlawanan telah dia bermain? Mereka semua memberi sumbangan kepada pasukan.” kata Tunku Mahkota di AFC House, semalam.

Tambahan pula, pemain-pemain muda yang menyarung jersi JDT turut berpeluang untuk meraih pengalaman bermain dalam kejohanan paling berprestij di asia iaitu Liga Juara-Juara AFC (ACL). Ia sesuatu yang tidak dapat diberikan oleh kebanyakan pasukan-pasukan lain tanah air mahupun rantau asia tenggara.

Foto: JST

Nama-nama pemain muda berbakat seperti Akhyar Rashid, Adam Nor Azlin, Safawi Rasid, Afiq Fazail dan Syafiq Ahmad antara yang sudah mengutip pengalaman bersaing di pentas tersebut. Ia memberikan mereka peluang bersaing dengan pemain-pemain handalan daripada beberapa pasukan gergasi asia.

“Kalau awak nak jadi juara, datang ke JDT. Peluang yang besar untuk menang, peluang besar untuk meraih piala, dan pada masa yang sama awak mempunyai peluang untuk mendapat pendedahan di Liga Juara-Juara AFC (ACL). 

“Adam Nor Azlin bermain di ACL, Safawi Rasid bermain di ACL, Akhyar Rashid bermain di ACL. Untuk berada dalam kelab profesional, awak perlu merebut tempat. Inilah yang dikatakan menjadi pemain profesional.” katanya lagi.

Foto: JOHOR Southern Tigers