Aksi JDT-Sabah tiada perubahan

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan aksi Kedah menentang Melaka dan Johor Darul Ta’zim (JDT) berdepan Sabah akan berlangsung mengikut jadual asal Jumaat ini.

Dua aksi yang dijadualkan berlangsung di Stadium Darul Aman dan Stadium Sultan Ibrahim itu menjadi tanda tanya selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengarahkan semua individu yang baru tiba dari Sabah menjalani ujian saringan COVID-19 dan perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) sehingga keputusan makmal dikeluarkan.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan bagaimanapun menjelaskan pihaknya akan memaklumkan sekiranya terdapat perubahan yang terpaksa dilakukan.

“Jadual masih kekal 2 September, tiada perlawanan tertangguh. Cuma jangan ada yang kena (positif COVID-19), tapi di liga lain pun ada (pemain positif) cuma yang kena itu saja tak boleh main.

“MFL sentiasa berhubung dengan Persatuan Bolasepak Sabah dan sebelum ini juga kita berhubung dengan Melaka United. KKM pun sangat membantu kita,” katanya kepada BH Sukan, hari ini.

Melaka terpaksa mengikuti segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan selepas terbabit dengan aksi Liga Super berdepan Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu, kelmarin.

Ia termasuk pemain dan pegawai pasukan itu kemungkinan terpaksa menjalani kuarantin di rumah, sekali gus bakal berdepan kekangan masa untuk melakukan persiapan berdepan Kedah.

Selain itu, Ab Ghani juga percaya tiada masalah dari segi kekangan masa untuk pasukan Sabah melakukan kunjungan ke Johor Bahru untuk berdepan JDT.

“Mereka (pasukan Sabah) boleh buat (ujian) di sana dulu, benda itu akan terpakai dalam tiga hari, itu tiada masalah,” katanya.