Aksi persahabatan dalam negara sahaja

Image may contain: text that says 'LEAGUE PERLAWANAN PERSAHABATAN DIBENARKAN BERMULA HARI INI MFL'

Pasukan Liga Super dan Liga Perdana hanya dibenarkan ‘bertarung’ sesama sendiri sekiranya mahu mengadakan aksi persahabatan sebagai persiapan sebelum mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) yang akan kembali bersambung 26 Ogos ini.

Ketetapan itu dibuat Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dengan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ab Ghani Hassan turut mengesahkan beberapa pasukan sudah menghantar permohonan dan makluman mengenainya.

“Pasukan hanya dibenarkan untuk mengadakan perlawanan di antara pasukan Liga Super dan Liga Perdana yang mana pegawai serta pemain pasukan terbabit sudah menjalani ujian calitan serta disahkan bebas gejala dan mendapat kelulusan MFL.

“Atau mereka juga boleh beraksi dengan pasukan yang mereka sudah bertemu dalam perlawanan di peringkat awal sebelum Liga M ditangguhkan. Perlawanan hanya dibenar diadakan di dalam stadium atau venue perlawanan yang didaftarkan di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Liridon diasak Pemain Kuching FA ketika aksi persahabatan awal musim. Foto JST.

“Stadium juga hendaklah menjalani proses nyahkuman dan disinfeksi sebelum perlawanan diadakan selain dimainkan tanpa penonton di mana hanya pegawai dan pemain pasukan yang berdaftar dan sudah menjalani ujian calitan dibenarkan berada di dalam stadium atau venue perlawanan,” katanya.

Sebagai rekod, antara pasukan yang sudah mengemukakan permohonan aksi persahabatan adalah Selangor yang akan menentang Pulau Pinang di Pusat Latihan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) pada Rabu ini, selain UiTM FC bertemu Pulau Pinang di Stadium UiTM Shah Alam dan Kelantan United menentang Terengganu FC II (TFC II) di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Kota Bharu pada 7 Ogos.

Dalam perkembangan sama, Ghani menjelaskan keputusan membenarkan perlawanan persahabatan bermula hari ini selaras dengan kenyataan MFL sebelum ini di mana setiap pasukan perlu berada dalam tempoh bertenang bermula 29 Julai sehingga kelmarin.

“Tempoh bertenang ini adalah bagi penilaian dan pemantauan bagi memastikan tahap kesihatan semua pegawai dan pemain masih baik selepas 14 hari tempoh latihan kontak fizikal dibenarkan, namun latihan berpasukan masih dibenarkan sepanjang tempoh ini.

“Ia sebagai usaha memastikan tiada individu terbabit dengan COVID-19 dan tiada laporan daripada pasukan berhubung adanya gejala COVID-19 dalam kalangan pegawai dan pemain,” katanya.