Bendera kelab JDT di pasang separuh tiang

Bendera Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) diturunkan separuh tiang di Stadium Sultan Ibrahim sebagai tanda penghormatan kepada penyerangnya, Syafiq Ahmad dan keluarga.

Arahan itu dikeluarkan oleh pemilik kelab yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Tunku Ismail telah menghantar Setiausaha Sulit Baginda bersama dengan pegawai agama Jabatan Agama Islam Negeri Johor ke Pulau Pinang untuk membantu Syafiq Ahmad, pemain Kelab Johor Darul Ta’zim yang telah kehilangan ahli keluarga terdekat pada pagi tadi.

“Tunku Ismail juga bertitah untuk bendera JDT di Stadium Sultan Ibrahim diturunkan separuh tiang, stadium diterangi dengan lampu putih dan mesej takziah dipaparkan di skrin besar sebagai tanda penghormatan kepada Syafiq sekeluarga. Upacara Tahlil juga akan diadakan selama tiga hari,” kata kelab itu dalam kenyataan, hari ini.

Syafiq yang juga pemain skuad Harimau Malaya terbabit dalam kemalangan awal pagi tadi yang mengorbankan bayi lelakinya yang berusia 22 hari.

Dua lagi yang maut dalam nahas kira-kira jam 5.30 pagi di KM163 Lebuh Raya Utara Selatan di Sungai Bakap itu ialah ibu mentuanya, Zainab Wahab, 45, dan pembantu rumah warga Indonesia, Titik Sukamti, 30an.

Dalam kejadian itu, Muhammad Syafiq, 25, dan seorang lagi anak perempuannya, dikenal pasti sebagai Aaira Nur Saffiya, 2, cedera ringan, manakala isterinya, Nur Amalina Nur Ain, 25, parah.