‘Cerita nak heret kes ke CAS’ berulang lagi

Setelah setahun berlalu, Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) hari ini mengulangi hasrat untuk membawa kes perpindahan Akhyar Rashid ke JDT ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) yang berpengkalan di Switzerland.

Cerita untuk membawa kes tersebut berulang kerana isu tersebut pernah dikeluarkan awal tahun lalu (1 Januari 2019) dan membuka tabung kutipan dari penyokong yang mana kos untuk membawa kes tersebut memerlukan perbelanjaan yang tinggi.

Bagaimanapun, hasil kutipan yang berjaya dikumpulkan hanya sekitar RM50,000 dan nasihat daripada peguamnya membuatkan pihak KFA hanya mengemukakan kes tersebut ke Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di Kuala Lumpur.

Baca sini Tabung ‘Kes Akhyar’ ke CAS dilancar; KFA perlu sedia ‘RM103,000’ ke CAS

Minggu lalu, Setiausaha Agong KFA memaklumkan kemenangan di pihaknya berkenaan isu pampasan melibatkan perpindahan Akhyar Rashid namun tidak berpuashati dengan jumlah yang diputuskan. AIAC menetapkan jumlah RM300,000 namun tidak memadai malah KFA mahu lebih daripada itu berikutan kos pelaburan yang dibuat kepada pemain itu.

Dalam laporan akhbar Harian Metro hari ini, menyatakan KFA sedia mengheret kes akhyar ke Switzerland dan tetap mahu ambil tindakan terhadap Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

“KALAU tak selesai di FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) atau keputusan itu masih belum memihak kepada kita, KFA (Persatuan Bolasepak Kedah) akan teruskan kes itu ke pihak berwajib seterusnya.”

Itu kata-kata Setiausaha Kehormat KFA, yang bersedia mengheret isu ‘tapping up’ atau ‘curi’ pemain kebangsaan, Akhyar Rashid ke peringkat lebih tinggi termasuk ke Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di Kuala Lumpur atau Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) di Switzerland.

Baca sini Kedah sedia ‘heret’ kes Akhyar ke Switzerland (Disiarkan pada 14 Januari 2020)

Namun isu untuk membawa kes ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) di Switzerland ibaratkan skrip lama berulang dan dilihat bertujuan untuk mengalihkan pandangan peminat bolasepak mengenai isu perpindahan ini.

Awal tahun 2019, media massa heboh menceritakan dengan pelbagai spekulasi yang membabitkan perpindahan ini yang mendakwa JDT dan Akhyar Rashid menggunakan ‘pintu belakang’. Bagaimanapun Akhyar Rashid yang ketika mohon untuk dilepaskan tidak dipersetujui membuatkan pemain kelahiran Jitra itu mengemukakan kes ke FAM.

Baca sini KFA tetap mahu heret kes ke FIFA, CAS (Disiarkan pada 1 Januari 2019)

Sebaliknya menurut Naib Presiden KFA memaklumkan mendapat petunjuk baru dengan KFA hanya perlu merujuk ke Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di Kuala Lumpur daripada mengheret isu berkenaan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) di Switzerland.

Baca sini Biar AIAC selesaikan kes Akhyar (Disiarkan 10 Januari 2019)

Jika diteliti semula, keputusan Jawatankuasa Status FAM telah memutuskan Akhyar boleh berpindah dengan perlu menebus kontrak RM210,000 dan mana-mana pasukan yang menandatangani Akhyar perlu membayar RM75,000 kepada KFA.

KFA masih tidak berpuashati malah merujuk kepada Jawatankuasa Rayuan FAM bagi menimbangkan semula keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Rayuan FAM. Namun Jawatankuasa Rayuan FAM menolak permohonan KFA dan keputusan itu kekal.

Baca sini Keputusan JK Rayuan FAM; FAM tolak rayuan KFA (27 Disember 2019)

Menurut peguam undang-undang sukan, Zhafri Aminurashid, Jika KFA tetap dengan keputusan untuk mengheret kes ke CAS, peluang KFA untuk menang agak tipis selepas kes dibawa kepada Jawatankuasa Rayuan FAM gara-gara tidak berpuas hati dengan keputusan Jawatankuasa Status FAM.

“Dalam statut FAM jelas menyatakan bahawa mana-mana kes yang dibawa ke Jawatankuasa Rayuan FAM tidak ‘valid’ lagi untuk dibawa ke FIFA ataupun CAS (Mahkamah Timbang Tara Sukan) kerana Jawatankuasa Rayuan adalah sebuah badan bebas yang mana keputusannya adalah muktamad dan CAS tiada bidang kuasa untuk mendengarnya semula.” Ujarnya.

Baca sini JDT, Akhyar berdepan hukuman FIFA?

Apapun kemelut yang melanda kini, tidak kira diperingkat mana sekalipun supaya menghentikan sebarang spekulasi atau berita-berita yang hanya untuk timbulkan isu-isu panas tanpa kesahihan berita yang sebenarnya.

Perkara yang ditimbulkan itu juga memberi perspektif buruk dan negatif buat semua pemerhati bolasepak. Apapun keputusan, diharapkan hanya pihak berkuasa atau pihak yang bertanggungjawab sahaja seperti FAM atau AIAC yang mengesahkan keputusan.