Datuk Hamidin berterima kasih atas ‘lampu hijau’ Perdana Menteri

PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin. – Foto Rasul Azli Samad

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berterima kasih kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang memberi lampu hijau buat badan induk itu menggunakan khidmat pemain naturalisasi.

Justeru, Hamidin menjelaskan jawatankuasa khas yang dipengerusikan Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi akan digerakkan untuk memperhalusi cadangan pengambilan pemain berkenaan.

“Saya melahirkan rasa terharu kepada Tun Dr Mahathir yang mana beliau sentiasa mengambil berat serta memantau perkembangan pasukan bola sepak kebangsaan.

“Sumbangan daripada kerajaan akan memainkan peranan positif dalam memajukan bola sepak tempatan.

“Mengambil reaksi positif daripada kenyataan Tun Dr Mahathir hari ini, FAM akan mula menggerakkan jawatankuasa khas untuk memperhalusi lagi hal berkaitan pengambilan pemain naturalisasi bagi langkah seterusnya.

“FAM tetap akan berusaha memperkasakan program akar umbi seperti disarankan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai program jangka masa panjang.

“Ia bagi melahirkan pemain Harimau Malaya pada masa depan biarpun sedang berusaha ke arah pemain naturalisasi dalam masa terdekat ini,” kata Hamidin dalam satu kenyataan, hari ini.

Restu yang diberikan Dr Mahathir kepada FAM itu dilihat bakal menjadi satu lagi titik perubahan sekali gus mencipta sejarah baru dalam arena bola sepak negara.

Cadangan yang diluahkan Hamidin pada sesi dialog bersama penyokong di ibu negara pada 21 Julai lalu mendapat pelbagai reaksi daripada beberapa pihak.

Pelbagai pihak termasuk Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan tampil menyokong cadangan berkenaan walaupun pada masa sama wujud segelintir individu yang menganggap pengambilan pemain naturalisasi sebagai jalan pintas yang tidak wajar diperkenalkan.