Debut Safawi Bersama Skuad B-23 Portimonense SC

PEMAIN Paling Bernilai, Safawi Rasid melakukan debutnya bersama skuad B-23 Portimonense SC ketika tewas 1-3 kepada Sporting CP lewat malam tadi. Ini juga sebagai gambaran bahawa beliau kemungkian tidak akan diturunkan untuk aksi Primeira Liga, malam ni.

Skuad utama Portimonense SC akan turun berdepan CS Maritimo yang turut disiarkan secara langsung menerusi Astro Arena.

Safawi Rasid telah diberi kepercayaan dalam kesebelasan utama pasukan dan beraksi hampir 60 minit perlawanan yang menyaksikan salah seorang pemain mereka, Sergio Santos dilayangkan kad merah di penghujung perlawanan tersebut.

Portimonense SC terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke18 menerusi Paulo Estrela sebelum Sporting CP bangkit dengan tiga gol menerusi jaringan Rafael Fernandes (minit ke-28), Duarte Carvalho dan Nikolai Skoglund (61′ dan 63′).

Ia boleh dikatakan ‘intro’ terbaik buat Safawi Rasid dengan arena bola sepak di Portugal dan ini merupakan kali pertama beliau merasai suasana perlawanan kompetitif di sana. Menerusi rakaman yang diperolehi di Youtube, penyerang skuad kebangsaan itu dilihat diberikan posisi sayap kanan skuad tersebut.

Dapat dilihat, beberapa kali Safawi Rasid berpeluang memulakan asakan ke kubu lawan tetapi acap kali jugalah gerakannya itu berjaya dibentes pemain-pemain pertahanan lawan. Mungkin beliau masih mencari rentak bermain di Portugal.

Walaubagaimanapun, apa yang ditampilkannya nampak positif dengan memiliki satu peluang membuat gerakan ikoniknya masuk ke final third lawan menerusi larian daripada sebelah sayap kanan ke kawasan tengah, namun dihadang lawan.

Aksi ini penting buat Safawi Rasid yang baru berusia 23 tahun bagi memahami gaya permainan di sana sebelum diserap masuk ke skuad utama. Tambahan pula, beliau baru sahaja seminggu lebih berlatih bersama kelab Primeira Liga itu.