Deschamps sokong Zidane

NICE, Perancis: Jurulatih Perancis, Didier Deschamps menyokong bekas rakan sepasukannya, Zinedine Zidane untuk mengambil alih tugasnya “satu hari nanti” selepas keputusan mengejutnya meninggalkan Real Madrid.

Bekas bintang Perancis itu membuat kejutan apabila meletakkan jawatan sebagai pengurus Real, semalam, beberapa hari selepas membimbing gergasi Sepanyol itu menjulang trofi Liga Juara-Juara.

Deschamps begitupun menolak pendapat yang mengatakan keputusan Zidane itu meningkatkan tekanan di bahunya menjelang kempen Piala Dunia yang dijadual bermula pertengahan bulan ini.

“Dia akan menjadi jurulatih Perancis, satu hari nanti. Ia akan berlaku,” kata Deschamps yang menjadi kapten Perancis ketika menjulang trofi Piala Dunia 1998 dan Euro 2000 dengan Zidane menjadi tonggak Les Bleus di bahagian tengah.

Zidane yang mengetuai Real menjuarai gelaran ketiga Liga Juara-Juara berturut-turut hasil kemenangan 3-1 ke atas Liverpool minggu lalu mendakwa beliau tidak lagi yakin dengan kebolehannya untuk menjadi inspirasi kelab berkenaan meraih lebih kejayaan.

“Saya tidak dapat melihat diri saya terus meraih kemenangan tahun ini dan saya seorang pemenang, saya tidak suka kalah,” kata Zidane yang memiliki kontrak bersama Real sehingga 2020.

Sekali pun Deschamps mempunyai kontrak bersama Persekutuan Bolasepak Perancis sehingga 2020, beliau melihat Zidane akan mengambil alih tempatnya satu hari nanti.

“Buat ketika ini dia mahu menikmati rehat dan menghabiskan masa bersama keluarganya,” katanya. “Satu hari nanti dia akan menjadi jurulatih kebangsaan. Saya tidak boleh berkata bila, tetapi bagi saya ia adalah logik.” – AFP

6 thoughts on “Deschamps sokong Zidane

Leave a Reply

Your email address will not be published.