FA Cup 2019: JDT bertemu PKNS di pusingan ke-3

Kelab bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) akan bertemu PKNS FC bagi aksi pusingan ke-3 Piala FA 2019 selepas proses pengundian dijalankan yang turut melibatkan 16 pasukan yang layak pada lewat petang tadi.

JDT akan menerima kunjungan PKNS di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan di Larkin pada 16 atau 17 April ini. Untuk rekod, JDT pernah bertemu PKNS di pentas Final Piala FA pada tahun 2016 dimana memihak kepada JDT untuk menjulang Piala FA.

Majlis yang turut dihadiri Datuk Wira Mohd. Yusoff Mahadi dan Encik Marzuki Sulong selaku Ahli Lembaga Pengarah Liga Bolasepak Malaysia (MFL) turut menyaksikan Juara Shopee Piala FA 2018, Pahang diundi menentang pasukan daripada Liga Premier, UKM FC.

Naib juara musim lalu, Selangor bakal berhadapan dengan pasukan Liga Super, Felda United di gelanggang sendiri, Stadium Shah Alam. Manakala, Kedah pula dijadualkan berentap dengan PJ City FC bimbingan K. Devan di Stadium Darul Aman.

Sesi undian tersebut turut diserikan dengan kehadiran tetamu istimewa iaitu Khalid Jamlus selaku bekas penyerang skuad kebangsaan dimana beliau menyaksikan pasukan amatur yang bermain dalam divisyen ke-4 bola sepak Malaysia, Jerantut FA diundi melayan kunjungan juara Piala Malaysia 2018, Perak.

Baki tiga buah pasukan Liga Super, Kuala Lumpur, Terengganu FC dan PKNP FC dijadualkan berentap dengan pasukan Pulau Pinang, Kelantan United FC dan juara diantara PDRM FA/Sarawak FA masing-masing.

Foto: MFL