FAM harap pasukan lain miliki stadium sendiri

Image

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Mohd Amin berharap lebih banyak pasukan di dalam Malaysia memiliki stadium sendiri pada masa akan datang.

Datuk Hamidin yang hadir menyaksikan Majlis Perasmian Stadium Sultan Ibrahim yang disempurnakan oleh DYMM Sultan Johor. Hadir sama barisan Exco FAM dan pengurusan bolasepak Malaysia.

Beliau juga kagum melihat fasiliti yang dipersembahkan oleh Stadium yang menjadi gelanggang rasmi JDT selain mengucapkan tahniah buat pemiliknya, DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim atas pembukaan stadium ini.

Image

“Kami di FAM berbesar hati menerima jemputan menyaksikan hari bersejarah JDT dan amat berharap selepas Stadium Sultan Ibrahim dan Stadium Tun Abdul Razak, akan ada lebih banyak stadium bola sepak yang dibina dan dimiliki oleh kelab bola sepak itu sendiri pada masa akan datang.

“Dengan fasilitinya dan kemudahan yang ada, pastinya stadium ini menjadi mercu tanda JDT malah usaha ini mampu melonjakkan pembangunan bola sepak tempatan serta negara.

“FAM mengucapkan ribuan terima kasih di bawah jemputan dan sekalung tahniah kepada JDT dan JOHOR Southern Tigers atas perasmian stadium baharu, Stadium Sultan Ibrahim,” kata Datuk Haji Hamidin.

Menurut Datuk Hamidin, Stadium Sultan Ibrahim ini adalah merupakan stadium bola sepak (iaitu tanpa trek balapan) kedua dibina di Malaysia selepas adanya Stadium Tun Abdul Razak di Pusat Bandar Jengka, Maran, Pahang pada 2015 buat Felda United.

Image

Pasukan skuad Harimau Selatan bakal memulakan aksi pertama di laman sendiri yang baharu menentang Kedah dalam aksi pembuka tirai Liga-M bagi merebut Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim.

Selain itu, juara enam kali berturut-turut Liga Super itu juga dijadualkan akan memulakan kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) di gelanggang sendiri menentang Suwon Bluewings pada 3 Mac nanti di Stadium Sultan Ibrahim.

Dengan pembukaan rasmi Stadium Sultan Ibrahim yang serba canggih — ‘Home of the Southern Tigers’ dan ini sekaligus menandakan aset terbaharu JDT, kebanggaan kelab dibawah kepimpinan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Raja.

Image

Reka bentuk Stadium Sultan Ibrahim yang dibangunkan oleh Forest City itu mampu memuatkan kapasiti maksimum sehingga 40,000 penonton selain memiliki kemudahan padang rumput semula jadi (Zeon Zoysia) yang mencapai standard Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA), sistem pencahayaan moden, sistem bunyi dan kemudahan penyiaran.

Projek ini bukan hanya melibatkan pembinaan stadium sahaja tetapi juga pelbagai aspek pembangunan yang lain termasuklah Ibu pejabat Johor Darul Ta’zim, Pusat latihan dan kedai cenderamata. Pastinya stadium Baharu ini bakal menjadi satu mercu tanda Johor.

Foto: FAM