Final Piala Malaysia, FAM senarai pendek 8 pengadil

Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan lapan pengadil berada dalam senarai pendek untuk mengendalikan perlawanan akhir Piala Malaysia, di Bukit Jalil, Sabtu ini.

Pengerusinya, Md Dali Wahid menjelaskan enam daripada lapan pengadil yang disenaraikan itu akan dipilih bagi mengendalikan perlawanan membabitkan Kedah dan Johor Darul Ta’zim di Stadium Nasional itu.

Katanya, antara kriteria yang diambil kira dalam memilih pengadil terbaik adalah berdasarkan prestasi mereka sepanjang menjalankan tugas dalam Liga Malaysia terutama ketika saingan Piala Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), ACP Md Dali Wahid

“Kita akan buat pemarkahan berdasarkan prestasi mereka dan memilih yang benar-benar layak. Kriteria kedua adalah mereka perlu bebas daripada kontroversi, maknanya tiada masalah ketika menjalankan tugas sebelum ini.

“Kriteria ketiga pula kita mengelak daripada memilih pengadil yang ada kaitan dengan pasukan bertanding termasuk dari segi negeri kelahirannya yang mana kita tidak mahu menimbulkan kritikan negatif daripada pihak lain,” katanya kepada BH Sukan.

Sebelum ini, Md Dali menegaskan pihaknya tidak akan menggunakan pengadil luar bagi aksi final Piala Malaysia selepas penggunaan tiga pengadil Jepun ketika perlawanan akhir Piala FA sebelum ini.

Image

Selain itu, beliau turut meminta beberapa pihak khususnya penyokong tidak membuat sebarang andaian awal yang negatif terhadap pengadil yang bakal dipilih mengendalikan perlawanan akhir itu.

“Jangan bila kami sebut pengadil Malaysia, terus buat andaian bahawa pengadil itu tidak bagus. Kita patut bagi sokongan kepada pengadil kita.

“Saya perlu fikirkan dari segi pembangunan jangka panjang pengadil tempatan dan tiada sebab untuk kita tak bagi peluang kepada mereka mengendalikan perlawanan yang berprestij tinggi sedangkan AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) pun mengiktiraf pengadil kita,” katanya.