Ini sumbangan JDT yang perlu kita terima…

Tidak boleh dinafikan bola sepak Malaysia sebelum tahun 2013 lebih tertumpu kepada kejohanan tempatan dalam Liga Malaysia sahaja manakala pasukan kebangsaan lebih banyak berkisar kepada kejayaan dalam Sukan SEA dan Piala AFF. Tiada pasukan dalam liga domestik yang ingin mencapai kejayaan di peringkat Asia malah kejohanan AFC hanya menerima sambutan dingin daripada penyokong bola sepak tanah air.

Bagaimanapun bermula pada tahun 2013, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor mempunyai idea yang sebaliknya. Baginda telah membawa revolusi kepada bola sepak tempatan. Misi dan visi baginda untuk menaikkan dan memartabatkan sebuah pasukan dari selatan tanah air, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sangat jelas. Sejak itu, Baginda tidak menoleh ke belakang lagi. Kejayaan demi kejayaan diraih oleh JDT di peringkat tempatan dan Asia. Kejuaraan pertama JDT dalam kejohanan Piala AFC 2015 telah membuka mata banyak pihak dan menjadikan Liga Malaysia terus bertambah hangat diperkatakan.

Satu fakta yang tidak boleh dinafikan para peminat bola sepak tempatan, kejayaan Malaysia meraih slot automatik ke Liga Juara-Juara AFC (ACL) pada tahun 2019 adalah kerana hasil kejayaan dan konsistensi pasukan JDT di saingan peringkat AFC. Selepas disahkan penyertaan automatik ke ACL, seluruh negara meraikannya tetapi DYAM Tunku Mahkota Johor adalah insan paling layak diberi penghormatan atas kejayaan tersebut.

Walaupun kelab dan pengurusan sering dicemuh kerana sentiasa mendapat perhatian dan mempunyai DYAM Tunku Mahkota Johor yang bercita-cita besar, namun JDT terus membuktikan bahawa mereka pasukan yang terbaik di dalam dan luar negara. Para penyokong JDT sentiasa memberi sokongan tidak berbelah-bagi kepada kelab dan pengurusan untuk melihat JDT terus melakar lebih banyak kejayaan di peringkat domestik dan antarabangsa. Luaskan Kuasamu Johor.