Jangan risau, Akhyar akan bayar. Dia ada duit…

Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim menegaskan pemain muda pasukan itu, Akhyar Rashid tidak akan bermasalah untuk membayar tuntutan pampasan daripada Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), walau berapa pun jumlahnya. 

Tunku Mahkota Ismail memberitahu KFA telah mengemukakan tuntutan pampasan sebanyak RM300,000 kepada pemain berusia 20 tahun itu susulan keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan berhubung perpindahan kontroversi Akhyar ke JDT pada tahun lalu yang dilaporkan memihak kepada KFA.

“Kes ini Kedah ambil tindakan ke atas Akhyar,  bukan JDT. So yang kena bayar adalah Akhyar bukan JDT.  Kedah nak Akhyar bayar RM300,000, tetapi Akhyar masih boleh buat rayuan untuk bayar kurang dari jumlah itu.  Tetapi jangan risau, apa-apapun Akhyar akan bayar, dia kaya, terima kasih,” ujar Tunku Mahkota Ismail dalam satu ruangan komen di Instagram @officialjohor.

Terdahulu pada Sabtu, Setiausaha Kehormat KFA Asmirul Anuar Aris memaklumkan jumlah pampasan masih perlu dipertimbangkan dan ia tidak disertai bersama pampasan latihan. 

“Sebolehnya saya ingin segera mengadakan perbincangan di kalangan exco KFA agar dapat berbincang secara teliti tentang pemasalahan dan tuntutan yang ingin diutamakan.

“Peguam mencadangkan agar kami (KFA) segera memfailkan tuntutan lain (terkini) selari dengan jumlah tuntutan yang diperlukan. Tentunya kita tidak akan bertolak ansur tentang jumlah tuntutan. Saya tidak dapat menyertakan jumlah pampasan yang akan di tawarkan kerana ianya masih dalam proses perundangan. InshaAllah saya akan menyatakan dalam sidang media apabila kesemua proses tuntutan yang baru telah siap di bincangkan.

“Kita masih berpeluang dan masih boleh mendapatkan jumlah pampasan latihan dengan tuntutan yang baru,” ujar Asmirul.

Sementara itu, JDT menerusi laman media sosial rasmi mereka (Johor Southern Tigers) mengeluarkan kenyataan bahawa keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan adalah membabitkan KFA serta Akhyar berhubung pampasan penamatan kontrak, dan tidak membabitkan kelab itu. 

“Jadi kepada mereka yang tidak memahami kes ini, tidak perlu melompat-lompat dan mengatakan bukan-bukan tentang keputusan itu. JDT telah berhubung dengan para peguam kami dan diberitahu bahawa kelab bukan sebahagian daripada kes ini dan tidak terjejas dengan sebarang tuntutan,” ujar Pengarah Teknikal kelab, Alistair Edwards. – FOXSport

Foto: JOHOR Southern Tigers