JDT akan jadi Kelab yang menjana keuntungan

Pemilik JDT, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja mengadakan sesi ‘No Holds Barred’ untuk berkongsi maklumat mengenai perancangan masa depan pasukan bolasepak JDT.

Perkara pertama yang dikongsikan adalah ingin meletakkan JDT sebagai sebuah kelab yang mampu menjana pendapatan sendiri dan keuntungan tanpa mengharapkan 100% dari penajaan.

Dalam perancangan musim 2020, Tunku Ismail yang juga dikenali dengan nama TMJ meletakkan sasaran JDT untuk empat pasukan terbaik di Liga Super selain Separuh Akhir Piala FA dan Suku Akhir Piala Malaysia. Manakala bagi kejohanan AFC Champions League, TMJ optimis JDT mampu melepasi peringkat kumpulan.

Berkongsi mengenai Stadium baharu, TMJ mengesahkan bahawa Stadium Sultan Ibrahim tidak akan sempurna 100% ketika ia digunakan kelak, ianya akan ditambah baik dari masa ke semasa.

TMJ turut menyatakan bahawa, Stadium Sultan Ibrahim ini bukan sahaja sebagai stadium bolasepak, tetapi akan jadi sebagai pusat komersial dan tarikan pelancong baik dalam negara mahupun luar negara.

Ianya akan dilengkapi dengan restoran, cafe, pusat sukan, tempat riadah, rekreasi di keliling stadium, disusuli dengan warna-warni pemandangan stadium kelak. Ianya juga sebagai strategik untuk menarik lebih ramai penyokong untuk hadir ke stadium.

TMJ sebelum ini turut menjelaskan bahawa, pembinaan stadium dan kelengkapan fasiliti sukan baru sahaja 40% dan akan ditambahbaik dengan pelbagai fasiliti lain seperti hotel, dan pusat latihan strategik.