JDT diikat PKNP namun masih gah di persada liga

Johor Darul Ta’zim masih gah di persada liga meskipun diikat PKNP dengan jaringan 1-1 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Manjung semalam.

Skuad JDT kendalian Benjamin Mora terlebih dulu menguji benteng tuan rumah sebaik sepak mula dengan asakan bertali arus. Hasilnya pada minit ke-4, Diogo Luis Santos berjaya menjaringkan gol pertama menerusi sepakan deras menewaskan penjaga gol PKNP FC, Khairul Thaqif Shah.

Tersentak dengan gol itu, anak didik Abu Bakar Fadzim mula memperkemaskan permainan dan berjaya menghasilkan gol 10 minit selepas itu hasil tolakan mudah Ramon Da Silva Costa hasil tandukan Giancarlo Lopes Rodrigues.

Bermula babak kedua, kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan berhati-hati dan JDT memiliki peluang untuk mendapatkan gol pada minit ke-56 selepas dihadiakan sepakan penalti.

Namun, Gonzalo Cabrera gagal menyempurnakannya apabila sepakannya melambung tinggi melepasi palang gol.

Aksi kedua-dua pasukan itu mula menjadi panas apabila masing-masing bernafsu mencari gol sehingga pemain tengah JDT, Mohd Afiq Fazail dilayangkan kad merah selepas mengasai pemain tuan rumah.

Kelebihan itu bagaimanapun gagal dimanfaatkan PKNP FC dan keputusan seri 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Selepas tamat perlawanan turut berlaku kekecohan antara pemain kedua-dua pasukan di tepi padang namun berjaya dileraikan pengadil serta pengurusan pasukan.