JDT kembali cipta kemenangan

May be an image of 1 person and outdoors

Sepakan penalti Bergson da Silva pada minit akhir perlawanan sudah cukup untuk Johor Darul Ta’zim (JDT) terus selesa di persada liga dengan kemenangan 1-0 ke atas pencabar kejuaraan, Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.

Pertahanan tuan rumah, Renan Alves menjadi duri dalam daging selepas tindakannya yang menjatuhkan Mohamadou Sumareh menyaksikan mereka dihukum dengan sepakan penalti ketika saingan berbaki hanya empat minit.

Lebih malang, kekalahan 1-0 itu menyebabkan skuad Lang Merah hilang status sebagai pasukan di tangga kedua apabila dipintas Terengganu FC (TFC) yang meraih kemenangan 3-0 ke atas UiTM FC.

Pada aksi terbabit, JDT dilihat lebih rancak menyerang menerusi beberapa percubaan yang dilancarkan namun masih belum cukup untuk menggugat gawang tuan rumah sepanjang babak pertama. Safawi memiliki dua kali peluang namun dikawal ketat pertahanan dan menggagalkan serangan JDT.

May be an image of 5 people and outdoors

KDA FC juga mencetuskan beberapa bahaya dan seharusnya mendahului sekurang-kurangnya namun nasib tidak berpihak kepada mereka selepas terpaksa menamatkan 45 minit pertama tanpa gol.

Tampanan Rabih Ataya yang cuba menyudahkan hantaran Kpah Sherman pada minit keempat terkena tiang sebelum tandukan Sherman pada minit ke-40 sekadar menggegar palang JDT.

Di separuh masa kedua, dilihat JDT lebih banyak menyerang dengan beberapa percubaan melalui Bergson menerusi rembatan derasnya, namun tersasar. Percubaan sekali lagi dimiliki Bergson namun tandukannya berjaya ditepis keluar Shahril.

May be an image of 1 person, playing football and outdoors

Mendukacitakan bahawa, Gonzalo Cabrera terpaksa diusung keluar akibat pengsan selepas berlaku perlanggaran dengan Renan Alves. Difahamkan, Cabrera terus dikejarkan ke Hospital. Tempat Cabrera digantikan Arif Aiman.

Kemasukkan Sumareh yang menggantikan Safawi memberi sedikit rentas berbeza. Sumare juga mencetuskan terjadinya sepakan penalti selepas beliau dijatuhkan dalam kotak penalti.

Sepakan penalti yang disempurnakan Bergson memastikan JDT pulang dengan mata penuh sekali gus mengelak daripada keciciran mata dalam tiga perlawanan berturut turut.

Foto: JOHOR Southern Tigers