JDT lawan Felda beraksi tanpa penyokong

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League mengesahkan minggu ini iaitu hari ini (jumaat), Sabtu dan ahad, semua perlawanan akan dimainkan tanpa penyokong dan selepas 16 Mac 2020 semua kejohanan di bawah kelolaan badan induk itu dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) ditangguhkan susulan kebimbangan penularan COVID-19.

Perkara itu diumumkan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin selepas mengadakan mesyuarat khas bersama semua pihak berkepentingan, hari ini.

Hamidin bagaimanapun menjelaskan penangguhan semua kejohanan itu akan bermula Isnin ini.

“Bagi perlawanan anjuran MFL dan FAM untuk hari ini, esok dan Ahad, semua perlawanan bermain tanpa penyokong,” kata Hamidin.

“Bermula Isnin ini, semua pertandingan FAM dan MFL ditangguhkan sehingga kita dapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan semua pihak berkuasa terbabit sebelum ia dimulakan semula.”

Antara kejohanan di bawah kelolaan FAM termasuk Piala Presiden, Piala Belia dan Liga Futsal Premier Malaysia sementara kejohanan di bawah MFL merangkumi Liga Malaysia (Liga M).

Terdahulu, Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) mengeluarkan kenyataan dengan menasihatkan penganjur acara sukan tempatan dan antarabangsa supaya menangguhkan acara sukan terbabit ke satu tempoh yang akan ditetapkan pihak berkuasa.

Kenyataan dikeluarkan PPS itu susulan kenyataan KKM mengenai semua perhimpunan yang membabitkan orang ramai adalah ditangguhkan bagi mencegah kemungkinan jangkitan COVID-19.

Sebelum ini, Ghani sudah membayangkan antara langkah yang perlu diambil susulan kebimbangan penularan COVID-19 termasuk aksi Liga M berlangsung tanpa penonton.

Malah, tindakan itu sudah dilakukan beberapa buah negara termasuk di liga Thailand.