JDT perkenal Kelab Hoki Ais dan lancar Logo, Jersi baharu

Image

Johor Darul Ta’zim (JDT) memperkenalkan kelab hoki ais buat pertama kali kepada media dengan melancarkan logo, jersi baharu kelab dan barisan pemain di Ibu Pejabat JDT di Stadium Sultan Ibrahim.

Ini merupakan sukan ketiga diperkenalkan JDT dalam sukan selain bolasepak selepas Boxing JDT dan menjadi pasukan pertama Liga Malaysia menceburi bidang sukan lain.

DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor dalam titah ucapan berkata, JDT akan menyertai kejohanan Weekend Warriors League, sebuah liga domestik yang akan berlangsung pada bulan Jun depan.

Baginda berkata, penyertaan dalam liga itu bukti kesungguhan JDT untuk meningkatkan profil sukan tersebut di Malaysia sekali gus mengembangkan lagi jenama JDT.

Image

“Kita telah kenal pasti 10 pemain dan ditandangani oleh kelab,” katanya kepada Berita Harian. Kesemua mereka berusia bawah 20 tahun, kecuali seorang pemain berpengalaman yang berusia 28 tahun.

“Ada antara mereka berpengalaman menyertai Sukan SEA. Sebagai persediaan kejohanan nanti, mereka kini giat berlatih di Sunway, Kuala Lumpur.”

Sejajar dengan penubuhan kelab hoki ais tersebut, JDT akan membina gelanggang hoki ais di Iskandar Puteri, Johor yang akan memakan kos pembinaan antara RM8 juta hingga RM9 juta.

Malah, kelab hoki ais JDT juga mempunyai akademi sendiri dan akan dinaiktaraf untuk melahirkan lebih ramai lagi bakat.

Sebelum ini, jenama JDT turut terdapat pada pasukan Boxing. Mereka menjuarai pelbagai anugerah di peringkat Asia melalui Muhammad Farkhan Haron yang mengetuainya di dalam gelanggang.

FOTO: JOHOR Southern Tigers