JDT perlu tunggu stadium baru dapat kelulusan

Juara Liga Super, Johor Darul Takzim berkemungkinan besar tidak dapat menggunakan stadium baru mereka, Stadium Sultan Ibrahim Larkin di Seri Iskandar dalam beberapa aksi awal kerana masih belum mendapat kelulusan daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Menurut Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John kepada Astro Arena, ia disebabkan masih ada beberapa perkara atau spesifikasi yang perlu dipenuhi sebelum AFC meluluskan penggunaan stadium itu yang bakal dibuka secara rasmi pada 22 Februari ini.

“Masih ada masa sebelum aksi pertama, jadi jika sempat (memenuhi spesifikasi) mereka boleh terus bermain di stadium baru tetapi jika tidak sempat maka JDT perlu bermain di Stadium Tan Sri Hj Hassan Yunos (Larkin) terlebih dahulu.

“Kebiasaannya kita tidak membenarkan pasukan untuk bertukar-tukar stadium, tetapi dalam soal ini kita telah dimaklumkan sejak beberapa bulan lalu bahawa JDT akan berpindah ke stadium baru dan kita memberi masa kepada mereka untuk beralih dari stadium lama ke stadium baru,” kata Windsor.

Mengikut jadual, JDT akan melayani kunjungan Kedah dalam aksi pertama Liga Super 2020 yang juga perlawanan sumbangsih merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah di Stadium Sultan Ibrahim yang berkapasiti 40,000 tempat duduk dan kemudiannya berdepan pasukan dari Korea Selatan, Suwon Bluewings dalam aksi kedua Kumpulan G Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Stadium itu yang disebut-sebut akan menjadi antara stadium terbaik di rantau Asia Tenggara diinspirasikan dari Stadium Allianz, Juventus.