JDT persembahkan ‘Figueroa Stand’ di Stadium Sultan Ibrahim

Pemilik JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor telah berkenan merasmikan sekaligus memperkenalkan ‘Luciano Figueroa Stand’ di Stadium Sultan Ibrahim.

Ianya dipersembahkan sebagai menghargai sumbangan besar Luciano Figueroa atau Lucho dalam skuad JDT dan menjadi sebahagian dari kelab dari mulanya kelab ditubuhkan tahun 2013.

Figueroa menyertai Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) pada tahun 2014 dan kekal selama dua musim sebagai pemain, menjaringkan 43 gol dan 14 bantuan jaringan dalam 71 perlawanan, sebelum menjadi Pengurus pada bulan Ogos 2018.

Aksi Lucho ketika beraksi bersama JDT musim 2015

Mengikut catatan dan statistik, Bekas pemain kebangsaan Argentina ini telah memenangi dua kejuaraan Liga Super Malaysia (2014 & 2015), Piala Sumbangsih 2015 dan Piala AFC 2015 sebagai pemain.

Figueroa juga berjaya memenangi dua lagi Piala Sumbangsih (2019 & 2020), Liga Super 2019 dan juga Piala Malaysia 2019 sebagai pengurus. Tahun 2020 juga bakal memperlihat sumbangannya apabila terus mengekalkan kejuaraan buat kali ketujuh berturut-turut buat JDT.

Beliau juga pernah berkhidmat di JDT sebagai Duta Kelab pada tahun 2017.

Luciano Figueroa bergambar bersama TMJ dan para pemain dan pengurusan JDT. Foto; JOHOR Southern Tigers

Dalam perkembangan lain, TMJ juga menyatakan kelab ini akan sentiasa memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada orang yang telah berjasa kepada kelab. Untuk rekod, JDT telah menamakan Pusat Latihan di Padang Seri Gelam sebagai Pusat Latihan Dato’ Suleiman Mohd Noor, seorang lagenda bolasepak Johor.

“Kelab ini akan sentiasa memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada orang yang berjasa dan mencipta sejarah kepada kelab,” titah DYAM Tunku Ismail.

Upacara perasmian dilakukan betul-betul dihadapan stand yang turut dihadiri barisan kejurulatihan, para pemain dan kakitangan. Turut hadir bersama adalah Duta Besar Argentina ke Malaysia, H.E Manuel Balaguer Salas.