JDT tepati ramalan, mudah tewaskan Melaka United

Meskipun kemenangan tipis 2-1, Johor Darul Ta’zim tepati ramalan untuk terus merangkul kejuaraan buat kali keenam berturut-turut tanpa perlu menunggu penghujung musim yang berbaki 4 perlawanan.

JDT tanpa mudah untuk mengetepikan cabaran Melaka United apabila mendahului seawal minit ke-7 menerusi Nazmi Faiz dan disusuli Diogo Santo pada minit 27 menjadikan kedudukan 2-0.

Bagaimanapun, tuan rumah tidak berputus asa untuk merapatkan jurang namun ketumpulan penyudah menyekat kemaraan mereka.

Masuk babak kedua, tempo permainan sedikit berbeza. JDT yang terus mengasak kubu lawan memperoleh beberapa peluang antaranya menerusi Nazmi Faiz yang berjaya ditepis keluar penjaga gol tuan rumah, Khairul Fahmi.

Safawi Rasid juga mempunyai peluang keemasan untuk menjaringkan gol, namun Khairul Fahmi terlebih dahulu bijak mengawal keadaan daripada dibolosi.

Melaka United berjaya memperoleh gol saguhati pada minit ke 84 menerusi Kapten pasukan, Shukor Adan yang membuat tindakan susulan hasil sepakan penalti Luka berjaya diselamatkan oleh Farizal Marlias.

Kemenangan ini sekaligus meletakkan JDT di persada liga dengan jarak mata 16 dihadapan pesaing Pahang yang hanya memungut 30 daripada 17 perlawanan. Disamping itu, JDT mengesahkan penyertaan ke pentas AFC Champions League buat kali ke-2 berturut-turut.