JDT terus unggul benam Kedah di Larkin

Kelab Bolasepak JDT terus unggul untuk kekal berada di persada liga Super selepas 15 perlawanan selepas membenam cabaran Kedah di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, malam tadi.

JDT berjaya tundukkan Kedah dengan jaringan 2-0 hasil jaringan Leandro Velazquez pada minit ke 33 dan Safawi Rasid pada minit ke 87. JDT yang kini mengutip 39 mata jauh meninggalkan pencabar terdekat Pahang dengan 26 mata yang kurang 1 perlawanan.

Melaka kembali bangkit untuk mengekori rapat bersama-sama Kedah dan Selangor dengan 22 mata. JDT hanya memerlukan 4 kemenangan daripada baki 7 perlawanan untuk mengesahkan kejuaraan keenam berturut-turut.

Rangkuman perlawanan ke-15, JDT yang turun dengan kesebelasan terbaik berjaya mengucar kacir kubu perlawanan lawan. Beberapa percubaan ke arah gol namun berjaya dinafikan pertahanan dan penjaga gol.

Penyerang Import JDT, Diogo Santo meledak gol menerusi tandukan cantik tetapi telah terlebih dahulu disahkan berada pada posisi offside.

Babak kedua, pasukan pelawat ditimpa malang apabila Rizal Ghazali dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua dari Pengadil perlawanan. Kesempatan itu diambil dengan baik dari Safawi untuk menambah jaringan.