Jom undi jaringan Safawi yang tersenarai gol terbaik ACL musim 2019

Reputasi Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia (Liga M) 2019, Safawi Rasid terus melonjak apabila jaringannya bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) tersenarai dalam 10 jaringan terbaik AFC Champions League (ACL) musim 2019.

Jaringan terbabit dilakukan ketika skuad Harimau Selatan berkunjung ke Shandong untuk berdepan cabaran Shandong Luneng pada aksi ketiga saingan peringkat kumpulan, AFC Champions League pada April lalu.

Jaringan penyerang muda JDT itu juga pernah dicalonkan dalam gol terbaik mingguan bersaing dengan bekas bintang Sepanyol dan Barcelona, Xavi Hernandez selepas jaringannya bersama kelab Qatar, Al Saad SC turut dicalonkan.

Aksi Safawi ketika menentang Shandong Luneng di Shandong, China. Foto JST

Sebagai rekod, JDT melakukan penampilan sulung di pentas ACL pada musim 2019 yang menyaksikan mereka menamatkan saingan di tangga tercorot Kumpulan E namun berjaya melakukan kejutan apabila menumbangkan juara bertahan, Kashima Antlers 1-0 di laman sendiri.

JDT sekali lagi akan beraksi dalam saingan ACL musim depan selepas mengesahkan tiket ke peringkat kumpulan selaku juara Liga Super 2019.

Penyokong bola sepak tempatan boleh melakukan undian untuk gol Safawi di laman rasmi Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Selain Safawi, sembilan lagi pemain yang turut tersenarai adalah antaranya Islam Tukhtakhujaev (PFC Lokomotiv), Gonzalo Viera (Al Rayyan), Serginho (Kashima Antlers),

Shojae Khalilzadeh (Persepolis), Khojiakbar Alijonov (Pakhtakor), Kim Dae-won (Daegu FC), Romarinho (Al-Rayyan), Khalid Muneer (Al-Duhail) dan Fabricio (Urawa Red Diamonds).

Setakat jam 12.00 tengah malam, 29/11/2019

Setakat jam 12.00 tengah malam ini, Safawi mendahului undian dengan 48 peratus (210,581 undian) diikuti Khalilzadeh dengan 47 peratus (206,901 undian).

Rakyat Malaysia boleh mengundi Safawi di pautan AFC Champions League