Kad JDT pelbagai guna bakal dilancarkan

Para penyokong JDT sememangnya bertuah dengan semua acuan yang dibentuk oleh pemiliknya, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim dalam merencana transformasi bolasepak Johor bukan sahaja untuk pasukan, malah untuk semua peminat bolasepak negeri.

Selepas dua tahun pelancaran, kini Yayasan JDT bakal memperkenalkan Kad JDT khusus untuk para penyumbang untuk mengaplikasikan kepelbagaian guna dalam menikmati faedah, kemudahan, tawaran, keistimewaan selain sebagai kad identiti.

Yayasan JDT yang kini dibawah pengurusan baharu di pimpin oleh YB. Dato’ Haji Mohd Noorazam Bin Osman bersama-sama 3 Ahli pemegang amanah yang lain mengorak langkah membuat penjenamaan semula Yayasan JDT selepas dilantik setahun lalu.

Mohd Noorazam yang juga merupakan CEO Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ), membuka idea dan peluang yang lebih luas dalam hala tuju Yayasan JDT dengan tidak fokus kepada bolasepak sebaliknya melibatkan semua sukan di Johor.

Bagaimanapun, ‘bench mark’ tetap pada bolasepak hasil transformasi yang dilakukan oleh DYAM Tunku Mahkota Johor.

Majlis Pelancaran Kad JDT dan Keahlian baharu Yayasan JDT akan diadakan pada 13 April ini dengan acara bermula jam 2.30 petang bertempat di JDT Cafe. Pada majlis berkenaan juga, penyokong akan diperjelaskan mengenai Kad JDT tersebut selain mengetahui hala tuju dan perjalanan Yayasan JDT yang mendatang.

Kepada penyokong yang ingin menyumbang bolehlah berbuat demikian melalui laman web rasmi Yayasan JDT di http://www.yayasanjdt.my sebaik sahaja majlis pelancaran selesai. Sumbangan hendaklah dibuat melalui online dan sistem akan terus mengemukakan no.keahlian sumbangan seterus diaktifkan.

Sebarang maklumat dan informasi bolehlah terus ke laman facebook rasmi di Yayasan JDT