Kemenangan JDT disekat Khairul Azhan, terlepas peluang 2 kali

May be an image of 1 person and playing a sport

Kemenangan JDT telah disekat Penjaga gol Selangor FC, Khairul Azhan apabila berjaya menyelamatkan sepakan penalti selain beberapa percubaan tepat ke pintu gol berjaya ditangkis keluar. JDT terlepas peluang 2 kali untuk mendahului selepas 2 kali sepakan penalti gagal disempurnakan dengan baik.

Keputusan seri 1-1 dan hanya satu mata jelas tidak memuaskan hati pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora selepas berdepan Selangor FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

Bagaimanapun, pengendali dari Mexico itu berpuas hati dengan kerja keras barisan pemain skuad Harimau Selatan yang memilki sikap melawan dan tidak pernah kenal erti putus asa untuk cuba meraih kemenangan.

May be an image of 2 people and people playing sports

Katanya, kesebelasan pemain JDT yang diturunkan pada aksi menentang skuad kendalian Karsten Neitzel tidak terperangkap dengan helah permainan pasukan lawan sebaliknya memberi tekanan terutama pada babak kedua.

“Aksi pada 20 hingga 30 minit babak pertama agak sukar bagi kami kerana pemain Selangor FC beraksi dengan permainan pantas dan kerap memberi tekanan di posisi tengah dan pertahanan. Malah intensiti permainan lawan juga pantas sambil pemain lawan kerap bertukar posisi.

“Tidak semua pasukan beraksi sebegitu apabila menentang JDT, namun kami tahu akan berdepan situasi sedemikian tapi akan sukar untuk menyekat pergerakan pantas barisan pemain Selangor FC yang ambil kesempatan menjaringkan gol pada minit ketujuh.

May be an image of 3 people, people playing sports and outdoors

“Gol itu beri lebih keyakinan kepada pemain lawan dan memberi tekanan terhadap pemain JDT dan pemain saya cuba menguasai permainan tapi rasa kecewa mula menghantui pemain pada minit ke-42 selepas Gonzalo (Cabrera) gagal menyempurnakan sepakan penalti,” katanya.

Bagaimanapun, pada aksi babak kedua Mora menegaskan keseluruhan permainan dikuasai pemainnya yang memaksa benteng Selangor FC bekerja keras mengekang asakan yang bermula di posisi sayap kiri dan kanan serta posisi tengah.

Ditanya mengenai persembahan Cabrera yang agak tenggelam dalam perlawanan itu, Mora menegaskan pemain itu sudah memberi yang terbaik namun kecederaan dialami di bahagian paha menyebabkan gerakannya agak terbatas.

“Bergson (Da Silva) juga belum berada di tahap kecergasan 100 peratus tapi dia tetap mahu beraksi dan saya puji semangat dia. Beri dia tempoh sedikit lagi dan pasti akan bangkit dengan persembahan lebih mantap untuk aksi seterusnya.

“Apapun, saya berpuas hati dengan corak permainan Arif Aiman (Mohd Hanafi), biarpun berusia 18 tahun tapi tidak kekok untuk bersaing dan sering memporak perandakan benteng Selangor FC. Malah usaha dia yang beri dua penalti,” kata Mora.

FOTO: JOHOR Southern Tigers