LaLiga: Griezmann sumbat dua gol untuk Barca menang

Antoine Griezmann berjaya meledak dua gol untuk Barcelona cetak kemenangan apabila membelasah Real Betis 5-2 pada aksi La Liga Sepanyol.

Selepas dikejutkan Athletic Bilbao 1-0 pada aksi pembukaan liga minggu lalu, mereka bangkit dengan bergaya di Nou Camp untuk mendapatkan tiga mata sekaligus mengejar kedudukan liga.

Image

Jaringan Carles Perez, Jordi Alba dan Arturo Vidal melengkapkan hari bersejarah buat kelab Catalan itu ketika mereka meraikan penampilan ke-500 pemain pertahanan Gerard Pique bersama kelab itu.

Barca yang turun tanpa dua tonggak utama, Lionel Messi dan Luis Suarez yang kecederaan, memulakan aksi yang hambar dan ketinggalan awal apabila Nabil Fekir menjaringkan gol dari sudut sukar pada minit ke-15.

Griezmann, yang menyertai Barca dari kelab musuh ketat Atletico Madrid bulan lalu, menjaringkan gol empat minit sebelum rehat untuk menyamakan kedudukan.

Gol sulung pemenang Piala Dunia dari Perancis untuk kelab itu ternyata menjadi pemangkin buat juara Sepanyol itu yang menambah lagi empat gol di babak kedua. Bermula dengan Griezmann yang meletakkan Barca didepan pada minit 50 sebelum Carles Perez menambah kedudukan 3-1 pada minit 57.

Jordi Alba dan Vidal memberi kebangkitan berganda buat Barca dengan masing-masing mencetak gol pada minit 60 dan 77 sebelum Real Betis peroleh gol tambahan minit 79 menjadikan kedudukan akhir Barcelona 5-2 mengatasi Real Betis.