Liridon Krasniqi Sah Sertai Newcastle Jets

Image

Kelab A-League, Newcastle Jets hari ini mengumumkan pemain kelahiran Kosovo, Liridon Krasniqi sebagai rekrut baharu bagi menghadapi baki musim 2020/2021.

Pemain naturalisasi Malaysia itu menyertai Newcastle Jets secara pinjaman dari kelab Liga Premier, Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dan beliau akan menyertai pasukan sebaik sahaja pintu perpindahan dibuka pada 16 Februari 2021.

Perkembangan itu diumumkan melalui media sosial Newcastle Jets dan turut disahkan oleh pengurus kelab, Joel Griffiths.

“Dia boleh berbahasa Inggeris dengan baik. Kehadirannya dialu-alukan dan beliau ingin belajar mengenai budaya kita. Dia juga komited untuk menampilkan aksi terbaik dalam permainannya,” kata Griffiths.

Pemain yang berusia 29 tahun itu memulakan kerjaya bola sepaknya dengan kelab Republk Czech, FK Mlada Boleslav pada tahun 2010 sebelum menyertai kelab Turki, Ferthiyespor.

Beliau kemudian berhijrah ke Malaysia menyertai Kedah dari tahun 2015 hingga 2018 dan sempat beraksi dengan pasukan Melaka United sebelum menyertai JDT mulai musim 2020.

Pada bulan Februari 2020, Liridon sah menjadi warganegara Malaysia sekaligus membolehkan beliau beraksi bersama skuad Harimau Malaya dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022 yang akan datang.

Newcastle Jets kini berada dalam kedudukan tercorot dalam saingan A-League selepas mengharungi 6 perlawanan. Kehadiran Liridon menjadi harapan untuk membantu memperkuatkan jentera serangan pasukan tersebut.