Liridon Krasniqi sudah dapat MyKad

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Liridon Krasniqi sah menjadi warganegara Malaysia dan bakal menjadi pemain naturalisasi kedua Malaysia selepas pemain sayap Pahang, Mohamadou Sumareh.

Perkara tersebut diumumkan menerusi laman sosial rasmi FAM ketika upacara penyampaian MyKAD kepada pemain kelahiran Kosovo itu di Putrajaya. Penyerahan MyKAD telah disampaikan oleh pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sambil disaksikan oleh Setiausaha Agong FAM, Stuart Ramalingam.

Menurut FAM, program pengambilan pemain naturalisasi bagi memperkasakan lagi skuad kebangsaan, Harimau Malaya kini mengorak langkah yang seterusnya apabila Liridon Krasniqi hari ini disahkan sebagai warganegara Malaysia.

Inisiatif dan idea ke arah pengambilan pemain naturalisasi ini mula dicetuskan sendiri oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin sejak dari hari pertama beliau memegang jawatan tersebut pada 14 Julai 2018.

Ia seterusnya mula digerakkan menerusi pembentukan Jawatankuasa Program Naturalisasi FAM yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dan disusuli mekanisme proses pengambilan pemain naturalisasi menerusi tiga peringkat – jangka pendek, jangka pertengahan dan jangka panjang yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Eksekutif FAM pada mesyuarat kali ketujuh bagi penggal 2017-2021 pada 30 Mac 2019.

Dengan memperoleh MyKad dan bergelar warganegara Malaysia, Liridon yang genap berusia 28 tahun pada 1 Januari 2020 kini selangkah sahaja lagi untuk layak menyarung jersi skuad kebangsaan, Harimau Malaya selaku pemain naturalisasi iaitu hanya menunggu kelulusan akhir daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

FAM akan menghantar segera dokumen terbaharu berkaitan kelulusan dan pengesahan Liridon sebagai warganegara Malaysia ini kepada FIFA bagi melengkapkan proses dokumentasi yang diperlukan.

Diharap kehadiran Liridon sebagai pemain naturalisasi kedua selepas Mohamadou Sumareh dalam skuad Harimau Malaya nanti akan dapat memperkasakan lagi pasukan.

FAM juga ingin sekali lagi berterima kasih kepada Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin serta para pegawai dari Kementerian Dalam Negeri yang telah banyak membantu sepanjang proses untuk Liridon mendapatkan taraf kewarganegaraan Malaysia melalui penaturalisasian ini.

Awal tahun lalu, Liridon menandatangani kontrak bersama JDT untuk musim 2020 dan baru sahaja pulang dari jelajah pra musim di Dubai, UAE. Liridon bergelut dengan kecederaan dan mengambil masa yang masa untuk pulih sebelum JDT membenarkan menjalani latihan di pusat latihan JDT.

Tahniah dan selamat maju jaya kepada Liridon.