Logo tidak berdaftar tetapi sudah diguna lebih 20 tahun

CIPTA logo baharu atau berdepan tindakan undang-undang walaupun logo sedia ada sudah digunakan lebih 20 tahun.

Itu kesan yang bakal diterima kelab atau persatuan bola sepak yang memandang remeh isu berkenaan dan menganggap ia bukan satu masalah besar.

Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Datuk Mohd Roslan Mahayudin berkata, logo yang digunakan pasukan bola sepak ketika ini boleh hilang begitu saja walaupun lambang itu adalah identiti mereka.

Ada antara pasukan bola sepak yang menganggap isu logo tidak berdaftar adalah remeh, namun jika ia diguna atau didaftar pihak lain, ia mengakibatkan pasukan terbabit berputih mata.

Antara pasukan yang belum mendaftar adalah Kuala Lumpur yang mengaku mereka boleh kehilangan hak terhadap logo yang sudah digunakan selama puluhan tahun jika tidak berbuat demikian dengan kadar segera.

Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa berkata, pihaknya terlepas pandang isu berkenaan dan sedar bahawa logo yang dipakai itu boleh dicuri oleh pasukan lain termasuk di luar negara.

Katanya, setakat ini belum lagi ada pihak yang cuba meniru atau menggunakan logo yang dipakai Kuala Lumpur dan pengurusan akan mendaftar Cap Dagangan atau ‘Trade Mark’ secepat mungkin.

“Walaupun Kuala Lumpur sudah beraksi lama dalam kancah liga Malaysia, namun sebenarnya kita belum lagi mendaftar logo kami.

“Pada masa sama, jika pendaftaran sudah dilakukan secara tidak langsung KLFA boleh mengambil tindakan jika ada pihak yang mencuri logo kami untuk kepentingan mereka,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sementara itu, pengurusan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) mengambil langkah awal dengan mendaftar logo The Red Warrior selepas mendapati ada pihak termasuk pasukan bola sepak negara jiran cuba menggunakannya tanpa kebenaran.

Menurut sumber KAFA, pihaknya mengesan tindakan terbabit beberapa tahun lalu dan terus mendaftar bagi mengelak kehilangan hak terhadap logo mereka.

“Nasib baik pengurusan bertindak cepat dengan mendaftar logo kami kerana ada pihak yang sudah mengambil langkah untuk berkongsi lencana yang sudah kita gunakan sejak dulu lagi.

“Logo di dada adalah lambang pasukan dan ia juga lambang kebanggaan seterusnya perlu dijaga bagi mengelak dicuri,” katanya.