Malaysia Cup 2018: JDT bangkit dengan membelasah Kedah


Johor Darul Ta’zim FC berjaya bangkit dari kekalahan minggu lepas dengan membelasah Kedah 5-1 pada aksi kedua unifi Piala Malaysia 2018 di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin malam tadi. JDT tanpa menoleh kebelakang terus melancarkan serangan bertali arus ke kubu Kedah seawal minit dengan beberapa percubaan.

Hazwan Bakri terlebih dahulu memperolehi peluang membuka jaringan, namun sepakannya terus ke dakapan penjaga gol Kedah. Marques tidak melepaskan peluang melakukan percubaan ke arah pintu gol. Pada minit 12, hasil pergerakkan Cabrera, gol pertama disudahkan Marquez hasil tandukkan kemas selepas menerima umpanan cantik Corbin di sebelah kiri untuk meletakkan JDT di depan dengan 1-0.

Pasukan pelawat turut berjaya mempunyai peluang menerusi Akram Mahinan di sebelah kanan tetapi gagal disudahkan dengan sempurna sebelum Sandro Da Silva meledak gol buat Kedah menyamakan kedudukan 1-1. Ianya terjadi selepas kawalan Natxo Insa yang tertampan ke belakang sekaligus melorongkan bola buat Sandro untuk gol pertama.

Babak kedua, JDT terus agresif menyerang mencari gol. Usaha kerasnya berhasil seawal minit 2 separuh masa kedua bermula pergerakan dari Corbin kepada Nazmi sebelum lorongan di berikan kepada Naxto Insa menjaringkan gol pada minit 47. Naxto berjaya menebus kesilapannya pada babak pertama untuk meletakkan JDT mendahului 2-1.

Foto: JOHOR Southern Tigers

Cabrera berjaya mencipta peluang keemasan yang terhidang hasil lorongan kemas tetapi bola terus melewati palang. Gol ketiga terhasil menerusi sepakan percuma Hazwan Bakri yang terus masuk menjernah jaring pada minit 71 menjadikan kedudukan 3-1. Pergerakan menarik 1-2 antara Natxo Insa dengan Marquez wajar dipuji sebelum dilorongkan kepada Cabrera untuk gol keempat pada minit 81.

JDT melengkapkan kemenangan besar dan selesa dengan jaringan kelima menerusi S. Kunanlan yang masuk sebagai pemain gantian untuk bergandingan dengan Azrif Nasrulhaq di sebelah kanan. Pada minit akhir, Kunanlan berjaya menyelinap masuk ke bahagian serangan sebelum sempat dilorongkan ke pintu gol, bola terbias kepada salah seorang pertahanan sebelum bola masuk mengenai jaring pelawat. JDT 5 Kedah 1.