Malaysia Cup: JDT bawa bekalan gol tempat lawan

Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora gembira dengan kejayaan anak-anak buahnya menumpaskan Terengganu FC 1-0 dalam aksi pertama timbal balik suku akhir Piala Malaysia, semalam.

“Saya sangat berpuas hati dengan persembahan pemain-pemain JDT, melakukan tugas dengan baik semasa fasa bertahan, tidak memberikan Terengganu FC ruang untuk menguasai permainan.

Sebaik wisel ditiup, permainan bermula dengan rancak di mana kedua-dua pasukan saling berbalas serangan. Bagaimanapun, kesilapan oleh pertahanan Terengganu FC pantas dimanfaatkan oleh Diogo Luis Santo untuk memberikan gol pendahuluan buat JDT pada minit ke-22.

Selepas daripada itu, perlawanan berlangsung dengan penuh rancak dan Terengganu FC memperoleh beberapa peluang untuk menyamakan kedudukan namun ia belum cukup untuk menewaskan Farizal Marlias di hadapan gawang JDT. 

Bersambung babak kedua, tuan rumah masih dalam ‘mood’ untuk memburu gol penyamaan. JDT pula bijak dalam menyerap asakan Terengganu FC dan mereka seringkali berjaya memintas bola di bahagian tengah. 

Pada minit ke-52, ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi membuat pertukaran berganda dengan memasukkan Malik Mat Arif dan Rahmat Makasuf. Mereka masuk menggantikan Khairul Izuan dan Ashari Samsudin.

Kemasukan kedua-dua pemain itu memberikan impak kepada pasukan pantai timur itu, tetapi JDT kekal berdisiplin mengekang serangan-serangan yang dilancarkan.

Permainan turut dihangatkan dengan beberapa layangan kad kuning oleh pengadil perlawanan, Wan Mohamad Tarmizi. Antara yang dilayangkan kad kuning pada separuh masa kedua ialah Khairul Izuan, Hariss Harun, Safawi Rasid, Nasrullah dan Diogo Luis Santo. 

Penghujung babak permainan, ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora turut melakukan dua pertukaran berganda dengan memasukkan Gary Steven Robbat dan Syafiq Ahmad.

Kapten JDT, Hariss Harun mengakui pertembungan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sering memberikan cabaran kepada pasukannya. Bagaimanapun, mereka berhasil mengatasi cabaran tersebut dengan menampilkan permainan berpasukan yang cemerlang.

“Setiap kali kita bermain di sini, ia sememangnya perlawanan yang sukar, sangat agresif, sangat tegang,

“Saya rasa kita buat kerja yang bagus sebagai sebuah pasukan, mendapatkan kelebihan gol di tempat lawan. Perlawanan belum tamat, kami perlu bersedia untuk perlawanan di Larkin.” ulas Hariss Harun kepada para wartawan.

Aksi timbal balik kedua dijadualkan pada 28 september di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin, sabtu depan.

Foto: JOHOR Southern Tigers