Malaysia Cup: JDT singkir pendahulu untuk ke Suku Akhir

Foto: Aswadi Alias – NSTP

Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan misi mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia apabila menyingkirkan terus pendahulu kumpulan MISC-MIFA untuk mara ke suku akhir selepas tewaskan 3-0 dalam aksi terakhir Kumpulan C di Stadium Shah Alam malam tadi.

Kemenangan itu membolehkan JDT muncul juara kumpulan dengan sembilan mata untuk bertemu naib juara Kumpulan D, Pahang pada saingan kalah mati.

Penyingkiran takhta kumpulan MIFA yang bertambah kecewa apabila gagal mengiringi JDT ke pusingan seterusnya selepas Kelantan membenam Kedah 2-0 untuk memintas kedudukan kedua.

Sebaik wisel permainan dibunyikan, JDT yang diambang penyingkiran awal terus melancarkan serangan bertali arus ke kubu pasukan tuan rumah.

Penyerang muda Safawi Rasid berjaya meloloskan diri pada minit ke-6 namun sepakannya dihalang pemain pertahanan MIFA. Kelab Harimau Selatan itu kemudian terlepas peluang keemasan apabila tandukan Fernando Marquez terkena palang selepas menerima hantaran Safawi di minit ke-35.

Biarpun banyak bertahan, MIFA yang dibimbing K Devan hampir mengejutkan pasukan pelawat namun sepakan pemain import Korea Selatan, Bae Beom Geun melepasi palang ketika gawang sudah terbuka luas pada minit ke-40.

Foto: Aswadi Alias – NSTP

Pada minit ke-54, nasib terus tidak menyebelahi JDT apabila sepakan percuma Gonzalo Cabrera terkena tiang manakala bola tandukan Fadhli Shas yang membuat tindakan susulan juga singgah di palang gol.

Saat yang dinantikan anak buah Luciano Figueria akhirnya tiba pada minit ke-63 apabila Cabrera menyudahkan sepakan penalti selepas Marquez dikasari dan terkena tangan pertahanan MIFA.

Cabrera meraikan gol itu bersama Marquez yang ketika itu menerima rawatan di dalam ambulans di tepi padang.

JDT bertambah selesa apabila Safawi menggamatkan stadium dengan jaringan menarik menerusi sepakan percuma menewaskan penjaga gol Mohd Muhaimon Mohamad buat kali kedua di minit ke-72.

JDT terus bernafsu menambah derita pasukan tuan rumah apabila menambah gol ketiga menerusi sepakan penalti di minit ke-83 oleh Safawi Rashid yang juga merupakan gol ke 500 sejak 2013 untuk JDT. Penalti diberikan selepas Cabrera dikasari dalam kotak penalti.