Malaysia Cup: JDT tempuh laluan sukar untuk Suku Akhir


Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa akur dengan kekalahan ketiga dalam saingan Piala Malaysia 2018 selepas tewas 1-3 kepada Kedah malam tadi. Kedua-dua pasukan harus menang bagi merapatkan kedudukan untuk layak ke suku akhir di mana jarak mata di antara keempat-empat pasukan dibezakan dengan 1 dan 2 mata sahaja. JDT bermula menerusi percubaan Aidil Zafuan seawal minit ke-3. Walaubagaimanapun, pasukan tuan rumah terlebih dahulu mencipta gol pendahuluan melalui Sandro Da Silva pada minit ke-5.

Tersentak dengan gol pendahuluan, JDT terus melancarkan strategik serangan di sebelah kanan menerusi Safawi Rashid. Penyerang kebangsaan itu mempunyai peluang namun rembatannya berjaya ditepis keluar penjaga gol tuan rumah, Hadi Hamid.

Safawi sekali lagi mempunyai peluang keemasan namun digagal sekali lagi oleh penjaga gol Kedah. Serangan balas tuan rumah hampir meletakkan Kedah selesa, Sandro berjaya membuat hantaran kemas kepada Badrrol namun gagal disempurnakan.

Gol pertama JDT terhasil melalui serangan menerusi hantaran kemas Elizari kepada Safawi sebelum melorongkan kepada Marquez untuk disudahkan pada minit 36.

Babak kedua, percaturan awal Kedah berjaya membuahkan hasil selepas kesilapan pertahanan Corbin Ong yang tertampan kepada Akhyar sebelum meledak gol kedua Kedah pada minit 46.

JDT terus mencari gol penyamaan, namun banyak serangan berjaya dipatahkan pertahanan Kedah. Safawi juga mempunyai peluang dengan rembatan padu namun juga tersasar sebelah kanan pintu gol tuan rumah.

Keadaan menjadi bertambah rumit apabila Kapten, Marcos Antonio dilayangkan kad merah selepas menerima dua kad kuning dan diperintahkan keluar padang pada minit akhir perlawanan. Kesempatan itu berjaya diambil Kedah untuk meledak gol ketiga melalui counter attack oleh Liridon pada minit 93.

Perlawanan tamat JDT tewas 1-3 kepada Kedah. JDT masih berpeluang untuk mara ke Suku Akhir dengan perlu menang ke atas MIFA pada perlawanan terakhir 16 September ini selepas MIFA dan Kelantan terikat tanpa jaringan di Kota Bharu.