Malaysia Cup: Selangor akhirnya layak ke Suku Akhir

Juara 33 kali, Selangor akhirnya mengesahkan layak ke suku akhir selepas membenam Felda United di tempat lawan dengan jaringan mudah 2-0. Pertembungan terakhir di Stadium Tun Razak sebagai penentu bagi kedua-dua pasukan untuk layak oleh kerana masing-masing memungut 7 mata dari 5 perlawanan.

Biarpun Felda menguasai perlawanan di 15 minit pertama perlawanan, Selangor terlebih dahulu menjaringkan gol menerusi Ifedayo yang tidak dikawal berjaya menjaringkan gol untuk Red Giants pada minit ke-15.

Felda sekali lagi menguasai permainan di separuh masa kedu dengan melakukan beberapa percubaan yang menguji Khairulazhan, tetapi Selangor cukup klinikal apabila Khyril Muhymeen menyudahkan gol kedua Selangor pada minit ke-72.

Ketika Selangor sudah mula mendahului 2-0, pemain Felda mula merasai tekanan untuk mencari gol. Tekanan itu membuatkan mereka gagal mengawal emosi dan akhirnya pemain pertahanan, Thiago Aquino dibuang padang selepas dilayangkan kad kuning kedua kerana mengasari Syahmi Safari pada minit ke-87.

Keputusan akhir, Selangor berjaya mara ke suku akhir Piala Malaysia selaku juar Kumpulan D dengan kemenangan 2-0 ke atas Felda United selepas Melaka sekadar seri 2-2 dengan PDRM di Stadium Hang Jebat.