Malaysia masih dianggap kuasa besar dalam sukan takraw


Kejayaan skuad kebangsaan merangkul emas acara Regu dengan menewaskan tuan rumah Indonesia 18-21, 22-20 dan 21-11 di Sukan Asia Jakarta Palembang hari ini membuktikan Malaysia masih antara kuasa terkuat dalam sukan sepak takraw di rantau ini.

Naib Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Mohd Somali Reduan, berkata kejayaan itu bertambah manis kerana ia menamatkan penantian 24 tahun Malaysia untuk meraih emas dalam sukan tradisi orang Melayu dengan kali terakhir berbuat demikian Sukan Asia 1994 Hiroshima, Jepun.

Somali berkata kejayaan itu adalah hasil kerja keras semua pihak terutama pemain yang bermain bermati-matian, selain usaha barisan jurulatih dan kepimpinan PSM.

“Berkat kesabaran dan kesungguhan pemain membuktikan takraw antara sukan berprestasi tinggi yang perlu diberikan perhatian.

“Apatah lagi kemenangan regu negara yang menewaskan tuan rumah, Indonesia, bukan suatu tugas mudah.

“Kita berdepan juga dengan ribuan penyokong tuan rumah, namun ketenangan dan semangat juang regu negara harus dipuji kerana melakukan sesuatu yang luar biasa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Somali juga berharap kejayaan itu akan membuka mata banyak pihak supaya memasukkan semula acara tradisi itu sebagai sebahagian program sukan teras negara pada masa depan.

“Kejayaan skuad negara membuktikan bahawa Malaysia masih menjadi kuasa sukan tradisional ini.

“Jadi saya berani mengatakan sukan ini mempunyai ramai pelapis muda yang perlu digilap dari semasa ke semasa,” katanya.