Manchester United sah tandatangani Bruno Fernandes

Manchester United bersetuju dengan perjanjian bernilai 80 juta euro (RM360 juta) untuk menandatangani pemain tengah antarabangsa Portugal, Bruno Fernandes dari Sporting Lisbon, umum kelab Liga Perdana itu awal pagi tadi.

“Manchester United gembira mengumumkan kami sudah mencapai persetujuan dengan Sporting Clube de Portugal untuk perpindahan Bruno Fernandes. Perjanjian itu tertakluk kepada faktor perubatan dan persetujuan peribadi,” kata United dalam satu kenyataan.

Fernandes, 25, dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford sejak beberapa bulan lalu tetapi United tidak bersetuju dengan nilai diberikan Sporting.

Sporting mengesahkan perjanjian itu membabitkan yuran 55 juta euro (RM247 juta) dengan tambahan 25 juta euro (RM112.5 juta) berkaitan persembahan bersama pasukan.

Tambahan berkenaan termasuk 5 juta (RM22.51 juta) untuk penampilan, 5 juta (RM22.51 juta) bergantung kepada sama ada United layak ke Liga Juara-Juara dan 15 juta (RM67.53 juta) jika Fernandes menang anugerah individu. – AFP