MFL beritahu geran tahun depan akan dikurangkan?

Tugas berat menanti persatuan bola sepak negeri dalam mempersiapkan pasukan menjelang musim depan apabila jumlah geran tahunan berkemungkinan besar akan dikurangkan.

Kantung 12 pasukan Liga Super dan 11 pasukan Liga Perdana itu, yang sebelum ini menerima geran, masing-masing RM3 juta dan RM1.5 juta, terpaksa dikurangkan berikutan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menghadapi kesukaran mendapatkan penajaan dan berdepan kekangan kewangan.

Terkini, MFL berdepan kesukaran melunaskan baki geran tahunan musim ini, yang masing-masing berjumlah RM1.5 juta dan RM500,000 kepada pasukan Liga Super dan Liga Perdana yang sepatutnya dilangsaikan bulan lalu, selepas membayar separuh daripadanya pada pertengahan Julai lalu.

Ahli Lembaga Pengarah MFL, yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi, tidak menolak kemungkinan pengurangan jumlah geran tahun depan, namun ia bergantung kepada nilai tajaan yang akan diterima bagi saingan musim depan.

“Mungkin tahun depan tak dapat lagi RM3 juta dan RM1.5 juta. Kami akan memberikannya mengikut nilai (tajaan) berapa yang kita dapat.

“Kami akan buat berdasarkan nilai sepatutnya yang kami terima daripada penaja,” katanya ketika ditemui di Akademi Bola Sepak Merah Kuning di Shah Alam, semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam, yang ditemui dalam Majlis Undian E-Sukan Piala Malaysia 2019 hari ini, enggan mengulas mengenai kelewatan mahupun pengurangan jumlah geran tahunan bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

“Anggota kanan (lembaga) telahpun memberikan komen (berkaitan perkara ini)… Ini bermakna saya tidak lagi perlu membuat sebarang komen.. Kami lakukan semua yang kami boleh dan akan membuat pengumuman rasmi mengenainya,” katanya.

— BERNAMA