MFL menghargai jasa dan pengorbanan TMJ

Malaysian Football League (MFL) hari ini mengadakan Majlis Penghargaan Mantan Pengerusi MFL, DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja Johor sebagai tanda menghargai segala sumbangan dan jasa baginda ketika menerajui badan pentadbir Liga Malaysia itu.

Majlis itu turut dihadiri Presiden MFL, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi bersama barisan Ahli Lembaga Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam.

Apa yang pasti, MFL sentiasa mengekalkan legasi serta terus menghayati semangat juang Tunku Mahkota Ismail yang telah berjaya membawa dan mengharumkan Liga Malaysia di peringkat antarabangsa.

MFL akan meneruskan cetusan idea Tunku Mahkota Ismail yang memperkenalkan MFL Next50 Strategic Blueprint 2021-2070 sebagai pelan induk strategik untuk mengangkat martabat Liga Malaysia dan pasukan-pasukan ke arah lebih profesional serta berdaya saing.

Menurut Presiden MFL, Datuk Haji Hamidin, beliau optimis pelancaran pelan strategik itu mampu mengangkat kualiti sukan bola sepak dalam pelbagai aspek ke peringkat antarabangsa.

“Sudah pasti MFL Next50 Strategic Blueprint akan menjadi salah satu agenda utama MFL di mana saya percaya semua pihak dan rakan kongsi MFL akan berganding bahu untuk menjayakan pelan strategik itu,” kata Datuk Haji Hamidin.

MFL turut tidak mahu terlepas peluang untuk merakamkan setinggi-tinggi junjung kasih kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar di atas keprihatinan baginda yang sentiasa memberikan sokongan, khidmat nasihat serta juga bantuan kewangan kepada MFL di saat amat memerlukan.

“Saya berharap semua barisan Ahli Lembaga Pengarah dan kakitangan MFL bekerja keras memberikan komitmen tinggi untuk lebih berjaya pada masa akan datang,” kata Datuk Haji Hamidin.