MFL mulakan Siri Jelajah Program Kawalan Ekonomi (ECP)

Malaysian Football League (MFL) telah memulakan jelajah sesi taklimat mengenai Program Kawalan Ekonomi (Economic Control Programme, ECP) apabila mengadakan pertemuan dengan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kelantan.

Pada sesi taklimat itu menyaksikan MFL diwakili Ketua Unit Perancangan dan Strategi, Reuben Chong dan Rakan Kongsi dalam Perkhidmatan Perlindungan Risiko PricewaterhouseCoopers (PwC), Ting Choo Wai turun padang memberikan taklimat kepada Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Kapten Mohd Anizam Jamian semalam.

Manakala sesi taklimat kedua berlangsung hari ini dengan pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) diwakili Setiausaha Agungnya Husin Deraman.

Dalam taklimat tersebut, MFL memberikan penjelasan terperinci mengenai pelaksanaan, sistem dan peranan ECP dalam Liga Malaysia pada musim depan serta mendapatkan maklumat dan pandangan daripada pihak pengurusan JDT dan Kelantan.

Selepas pertemuan positif bersama JDT dan Kelantan, MFL akan meneruskan siri jelajah sesi taklimat mengenai ECP kepada pasukan Liga Malaysia termasuk PJ City FC, Pahang dan Negeri Sembilan.

sumber: MFL